PSB ANJUR CERAMAH BERTAJUK “STRESS DI KALANGAN PEKERJA”

Bersempena dengan “Hari Terbuka Perpustakaan” yang berlangsung pada 13 Oktober sehingga 17 Oktober 2019 yang lalu, pelbagai aktiviti telah dijalankan bagi memeriahkan minggu tersebut. Antara aktiviti yang turut dijalankan adalah ceramah berkaitan dengan stress di kalangan kakitangan. Ceramah tersebut telah berlangsung pada 17 Oktober 2019 dan ianya telah disampaikan oleh seorang pegawai  perubatan dari Pusat Kesihatan Universiti (PKU) iaitu Dr. Adi Azhar Bin Abd Razak yang bertempat di Auditorium 1, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB).

Antara intipati ceramah oleh Dr. Adi adalah, beliau menyarankan majikan di semua peringkat perlu mengambil berat soal tahap kesihatan mental setiap pekerja bagi mengelakkan berlaku risiko kemurungan. Jelasnya, peranan majikan di negara ini dalam mempromosikan kesedaran soal kesihatan mental di tempat kerja adalah masih pada tahap yang rendah. Tekanan kerja secara umumnya berpunca daripada tanggungjawab atau beban tugas yang tidak berpadanan dengan pengetahuan, kemahiran atau jangkaan individu tersebut sehingga menyebabkan mereka sukar untuk menanganinya. Tambah beliau lagi, tekanan ini akan menjadi bertambah teruk apabila mereka tidak mendapat sokongan daripada rakan sejawat atau ketua dan tidak mempunyai kawalan terhadap punca tekanan.

Oleh itu, nasihat beliau adalah, tekanan perlu ditangani di peringkat awal. Jika ianya dibiarkan berpanjangan dikhuatiri ianya boleh menyebabkan berlakunya kemurungan, kegelisahan, mencetuskan penyakit serta  menyebabkan penyakit fizikal sedia ada menjadi bertambah teruk. Untuk itu adalah penting agar pekerja dan majikan bersama-sama berusaha untuk mengurangkan tekanan serta menjadikan persekitaran kerja kondusif dan harmoni.

 

Disediakan oleh : Norashikin Ibrahim

Gambar : Mohamad Fuzi Ismail

Share :