‘SCAVENGER HUNT’ UJI MINDA PELAJAR

15 Oktober 2019 – Bahagian Rujukan dan Perkhidmatan Maklumat, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah menganjurkan satu pertandingan yang melibatkan penyertaan seramai 76 orang pelajar Inapan Siswa Yayasan Al-Bukhary (INASIS YAB).

Program ini diadakan bertujuan memberi pendedahan mengenai kemudahan dan perkhidmatan perpustakaan serta meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam pencarian maklumat kepada pelajar. Selain itu, ia dapat mengeratkan hubungan silaturahim di antara pelajar dan staf perpustakaan secara langsung mahupun tidak langsung. Acara bermula pada jam 10.00 pagi sejurus selepas dirasmikan oleh Encik Salleh Hudin Mustaffa, Ketua Pustakawan PSB.

Para pelajar dibahagikan kepada 7 kumpulan serta  diberi taklimat ringkas mengenai peraturan dan tatacara permainan oleh Cik Mazyana Hashim, Pustakawan PSB. Pertandingan ini berlansgung selama 2 jam ini benar-benar menguji ketajaman minda dan fizikal para pelajar kerana bukan sahaja mereka perlu membongkar misteri setiap klu yang diberi malahan perlu malakukan tugasan khas dan menjawab soalan yang disediakan di setiap checkpoint. Namun begitu jelas terpancar keghairahan di wajah mereka agar bisa memperolehi kemenangan.

Pemenang diumumkan setelah mendapat keputusan muktamad daripada juri dengan mengambilkira kepantasan dan ketepatan jawapan yang berjaya diselesaikan oleh peserta.  Tempat pertama telah disandang oleh Kumpulan 2, manakala tempat kedua dimenangi oleh Kumpulan 5 dan tempat ketiga jatuh kepada  Kumpulan 1. Kumpulan yang tidak berjaya turut memenangi hadiah saguhati berupa hamper.

Program ini diharap dapat membantu pelajar mengenali kemudahan dan perkhidmatan perpustakaan dengan lebih dekat lagi dan agar mereka dapat memanfaatkannya sepanjang tempoh pengajian di Universiti Utara Malaysia.

 

Disediakan oleh: Hanie Azyyati Abdul Jamil

Gambar oleh: Mohamad Fuzi Ismail

Share :