STAF PSB MEMPERLIHATKAN KEHEBATAN IDEA DAN KREATIVITI DALAM PERTANDINGAN BICARA Q

Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah menganjurkan satu Pertandingan Bicara Q di kalangan stafnya pada 5 Mei 2014 (Isnin), jam 9.00 pagi bertempat di Auditorium 2, Bangunan Tambahan. Pertandingan yang berlangsung selama 3 jam ini disertai oleh 10 orang peserta dari pelbagai bahagian dan unit di PSB. Tajuk-tajuk yang dipertandingkan adalah Integriti memupuk budaya kerja cemerlang, Ilmu Budi Bakti melahirkan modal insan berprestasi tinggi, Personaliti hebat pemangkin kualiti kerja cemerlang, Personaliti dan Organisasi Memimpin Diri dan Memimpin Organisasi, Warga berdaya, PSB Berjaya dan Peningkatan kesedaran diri terhadap pembudayaan kualiti.

Pertandingan ini diadili oleh 3 orang juri jemputan iaitu Dr. Hasbullah Haji Ashari, Pensyarah Kanan COB, Puan Maimunah Mohamad, Pegawai Tadbir COB dan Puan Hasma Haji Harun, Pustakawan PSB. Pertandingan Bicara Q merupakan salah satu aktiviti jabatan yang bertujuan untuk menggalakkan perkongsian pengetahuan dan penerapan budaya kualiti di peringkat organisasi. Selain itu,objektif pertandingan ini diadakan khusus untuk mendapatkan sumbangan idea staf, mengasah kemahiran dan bakat pengucapan awam dan juga dapat menggalakkan usaha menyelidik, mengesan dan memperolehi maklumat berhubung kualiti.

Pertandingan ini berakhir pada jam 12.00 tengah hari dan hadiah akan diberikan kepada para pemenang pada Majlis Kualiti PSB nanti.

Oleh : Isanuddin Bidin | Gambar oleh: Mohamad Fuzi Ismail

69total visits,1visits today