UNIVERSITI UTARA MALAYSIA (UUM) CATAT PENDERMA DARAH TERTINGGI DI KEDAH

Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mencatat rekod kutipan darah terbanyak dan ia merupakan kutipan tertinggi di Negeri Kedah bagi tahun 2017. Kempen Derma Darah seperti ini telah dijalankan sekian lama di PSB. Ini disebabkan persekitaran ruang legar PSB yang amat selesa dan merupakan lokasi tumpuan utama pengunjung. Selain itu, Pihak Pengurusan PSB amat mengalu-alukan program amal seperti Kempen Derma Darah yang diadakan secara mingguan dan bulanan oleh Hospital Sultanah Bahiyah di ruang legar Bangunan Utama PSB.

Ekoran daripada itu, pada 7 Disember 2017 (Khamis), satu majlis ringkas penyampaian sijil penghargaan beserta hamper ini diadakan bersempena dengan Sambutan Hari Penderma Darah Dunia 2017, Peringkat Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar. Sijil penghargaan ini telah disampaikan oleh Dr. Azizul Hassan iaitu wakil daripada Hospital Sultanah Bahiyah kepada En. Abu Bakar Mat Safar Ketua Penolong Pendaftar, PSB.

Pencapaian ini berjaya diraih adalah hasil penglibatan para pelajar dan juga kakitangan UUM terutamanya warga PSB sendiri yang amat prihatin kepada stok simpanan tabung darah negara yang sentiasa tidak mencukupi. Di samping menderma, para sukarelawan dapat berbakti kepada insan yang ditimpa musibah yang begitu mengharapkan sumbangan darah bagi meneruskan kehidupan mereka.

Menurut Dr. Azizul Hassan, program sebegini sangat bermanfaat dan amat berguna kepada pesakit mahupun penderma. Kempen ini dikuatkan lagi dengan slogan ‘Don’t Wait Until Disaster Strikes – Give Blood, Give Now & Give Often’ serta ‘Jom Derma Darah, Jom Beramal, Jom Sihat’. Semoga kejayaan yang positif ini dapat diteruskan lagi di masa akan datang.

Disediakan oleh : Zaiful Izwan Ibrahim

Gambar oleh : Samsuhaimi Ghazali

65total visits,3visits today