KEMBARA ILMU: STAF PSB BERKUNJUNG KE PERPUSTAKAAN NEGARA MALAYSIA, PESTA BUKU ANTARABANGSA KUALA LUMPUR, PERPUSTAKAAN UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA DAN INFORMATION RESOURCE CENTRE UNIVERSITI TEKNOLOGI PETRONAS

PSB ONLINE: 8 Jun 2026 – Keheningan pagi nan syahdu di bumi Sintok setelah enam hari bercuti sempena sambutan Hari Raya Aidiladha, Hari Wesak dan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, seolah-olah mengiringi lawatan penandaarasan staf Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) ke Kuala Lumpur. Perjalanan bermula kira-kira jam 7.40 pagi dari perpustakaan, membawa seramai 24 orang delegasi PSB melewati hampir 10 jam di atas Lebuhraya untuk tiba di sana.

Kembara ilmu staf PSB ini berlangsung selama empat hari tiga malam yang bermula pada 2 hingga 5 Jun 2026, meliputi empat destinasi utama iaitu Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL), Perpustakaan Universiti Sains Islam Malaysia (Perpustakaan USIM) dan Information Resource Centre Universiti Teknologi Petronas (IRC UTP).

Delegasi PSB memulakan lawatan ini dengan berkunjung ke PNM pada 3 Jun 2026. Kunjungan kami disambut mesra oleh Encik Abdul Hadi Hafiq bin Lukman dan Puan Marasida a/p Omar yang merupakan Pegawai Bahagian Komunikasi Korporat, PNM. Delegasi ini dibawa terus ke Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu (PKMM) yang berada di aras 11, Menara PNM.

Ketibaan kami di PKMM sememangnya telah dinantikan oleh Puan Jamiliana binti Jamil dan Puan Suhaida binti Mohamad. Delegasi diberi penerangan serba ringkas mengenai PKMM meliputi sejarah penubuhan dan jenis koleksi yang ditempatkan di situ. Di samping itu, pelbagai koleksi manuskrip Melayu yang terdapat di situ, diperkenal dan ditunjukkan kepada kami. Setelah itu, ahli lawatan dibawa menuju ke Anjung Bestari di bangunan utama PNM yang menempatkan pelbagai koleksi dan perkhidmatan kepada pengguna, antaranya auditorium, bilik karel, bilik perbincangan, koleksi luar negara dan koleksi pinjaman.

Delegasi PSB juga dibawa menjelajah setiap paras bangunan utama PNM yang setinggi lapan tingkat itu. Setelah setengah hari menghabiskan waktu menjelajah PNM, destinasi seterusnya ialah PBAKL yang bertempat di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). PBAKL 2026 ini bermula pada 29 Mei hingga 7 Jun 2026, telah berjaya menghimpunkan 232 pempamer tempatan dan juga antarabangsa melalui 1210 reruai yang beroperasi. Selain daripada reruai jualan buku syarikat penerbitan terkemuka di dalam kompleks, terdapat juga pelbagai gerai dan kendera saji di luar kompleks yang menjual makanan serta minuman untuk pengunjung mengalas perut dan membasahkan tekak. Dengan tema ‘Malaysia Membaca, Marayakan Buku’, PBAKL 2026 ini mampu menarik perhatian delegasi PSB untuk membeli bahan bacaan dan meninjau reruai mecari bahan yang sesuai untuk dijadikan koleksi perpustakaan.

Hari kedua kembara diteruskan pada 4 Jun 2026 dan destinasi seterusnya ialah Perpustakaan USIM yang terletak di Nilai. Ketibaan delegasi PSB di sana sekitar jam 10.00 pagi disambut meriah oleh beberapa orang pustakawan terutamanya Puan Siti Zahirah Zamri selaku pustakawan pengiring pada hari itu. Di samping itu, Ketua Pustakawan Perpustakaan USIM, Datin Nor Azzah Momin juga turut menyambut ketibaan delegasi ini dengan menjemput semua hadirin menikmati jamuan yang disediakan untuk mengalas perut terlebih dahulu. Seterusnya, kami dijemput masuk ke bilik mesyuarat ketua pustakawan untuk diberi sedikit penerangan dan pengenalan ringkas mengenai perpustakaan. Setelah itu, ahli kembara ini dibawa meninjau ke segenap bahagian perpustakaan yang berketinggian empat tingkat itu. Mata bercahaya staf PSB jelas terpancar apabila menemui kelainan kemudahan yang disediakan oleh Perpustakaan USIM berbanding dengan PSB antaranya Learning Space Library Pod, Learning Space Library Cubes, Learning Space e-Sports Room dan Learning Space VR Room.

Pusat Sumber Maklumat atau Information Resource Centre Universiti Teknologi Petronas (IRC-UTP) menjadi destinasi akhir kembara kami pada hari terakhir. Rombongan kami tiba di Bandar Seri Iskandar, Perak lebih kurang jam 4.00 petang dan diraikan oleh Puan Siti Nurbaya Abd Karim serta beberapa orang pustakawan yang lain. Puan Fimaris Mohamed Ariff selaku Pengarah IRC-UTP juga turut berbesar hati menyambut ketibaan kami dengan memberikan kata-kata aluan serta berkongsi sedikit latar belakang pusat sumber itu sendiri. Selain daripada itu, delegasi PSB juga dibawa meninjau keistimewaan perkhidmatan dan kemudahan yang dimiliki oleh IRC-UTP yang tampak megah serta estetik dengan rak buku bertingkat sebagai tarikan utamanya. Di samping itu, dua buah kereta lumba Formula Satu juga turut dipamerkan yang menjadi salah satu tarikan untuk para pengunjung bergambar sebagai tanda kenangan kerana pernah mengunjungi pusat sumber ini. Pertemuan selama dua jam itu diakhiri dengan penyampaian cenderamata oleh Encik Norhardi Saad kepada Puan Fimaris Mohamed Ariff dan dibalas oleh pihak IRC UTP kepada setiap orang delegasi PSB.

Kembara ilmu ini telah berjaya membuka mata para staf PSB untuk menambahbaik mutu perkhidmatan dan cuba menaik taraf kemudahan perpustakaan kami supaya dapat mengejar arus pemodenan kini. Segala input yang telah diperoleh daripada lawatan kali ini akan diguna pakai dan dimanfaat sebaiiknya oleh ahli rombongan bagi memberikan perkhidmatan terbaik serta kemudahan yang kondusif kepada semua pengguna Perpustakaan Sultanah Bahiyah.

Disediakan oleh: Nurshafizawati Shafie
Gambar oleh: Md Aisha Ahmad

News Archive
Skip to content