Solat Dilaksana, Namun Hati Masih Gelisah? Ini Jawapannya

PSB ONLINE: 25 Jun 2026 – Dalam arus kehidupan moden yang semakin sibuk dan mencabar, ramai melaksanakan solat sebagai rutin harian, namun masih belum menemukan ketenangan jiwa. Persoalan ini diketengahkan dalam sesi telaah anjuran Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB)kali ini.

Buku “Hati Dengan Solat” karya Pahrol Mohamad Juoi telah diketengahkan menerusi kupasan oleh pelajar latihan industri, Cik Nurul Busra Shuhadak Muhamad Pua’at. Kupasan tersebut menyorot realiti masyarakat yang menunaikan solat, tetapi belum benar-benar menghayatinya.

Menurut Cik Busra, antara teguran paling signifikan dalam buku ini ialah hakikat bahawa tidak semua solat memberi kesan kepada jiwa.

“Ramai orang bersolat, tetapi tidak semua ‘mendirikan’ solat,” jelas beliau.

Penjelasan tersebut menekankan bahawa pergerakan solat semata-mata tidak mencukupi. Sebaliknya, penghayatan yang melibatkan kekhusyukan, kefahaman serta kehadiran hati merupakan inti pati sebenar dalam mencapai ketenangan melalui ibadah.

Kupasan beliau turut menegaskan bahawa kegagalan merasai ketenangan bukan berpunca daripada solat itu sendiri, tetapi daripada kualiti pelaksanaannya.

“Jika solat tidak menenangkan, itu petanda kita belum benar-benar berada di dalam solat.” tambah beliau.

Melalui pendekatan yang santai tetapi penuh pengisian, Cik Busra mengajak warga PSB menilai semula hubungan mereka dengan Allah SWT, serta menjadikan solat sebagai sumber kekuatan dalaman dalam menghadapi cabaran kehidupan.

Dalam dunia yang sarat dengan tekanan dan gangguan emosi, buku“Hati Dengan Solat” mengingatkan bahawa ketenangan yang dicari bukan berada di luar, tetapi sudah tersedia dalam ibadah harian. Namun hanya akan dirasai apabila solat itu benar-benar dihidupkan dengan kehadiran hati yang tulus.

Disediakan oleh: Siti Ainsyah Kamis
Gambar oleh: Ajmal Afif Abdul Rais

News Archive
Skip to content