Surat Cinta dari Tuhan” Cetus Refleksi Diri dan Penghayatan Kehidupan

PSB ONLINE: 16 Julai – Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan sesi telaah buku Surat Cinta dari Tuhan karya Adnin Roslan yang disampaikan oleh Puan Norihan Anah. Sesi tersebut berjaya menarik perhatian warga PSB melalui perkongsian yang menyentuh aspek kehidupan, tadabbur al-Quran dan pembangunan diri. 

Dalam sesi tersebut, Puan Norihan menjelaskan bahawa Surah al-Fatihah merupakan ringkasan kandungan al-Quran  kerana menghimpunkan mesej utama yang kemudiannya dihuraikan dalam 113 surah yang lain. Menurut beliau, surah yang dikenali sebagai Ummul Kitab itu menjadi permulaan kepada pembacaan al-Quran dan melalui tadabbur ayat-ayatnya, umat Islam dapat mengenali Allah SWT, memahami tujuan kehidupan serta menghayati panduan yang diturunkan kepada manusia. 

“Al-Fatihah ialah Ummul KitabApabila kita memahami al-Fatihah, kita dapat memahami mesej utama yang terkandung dalam al-Quran,” katanya. 

Beliau turut mengupas beberapa ayat al-Quran yang mengandungi seruan kepada orang beriman agar sentiasa memperkukuh agama Allah  SWT. Menurut beliau, setiap insan menginginkan kebahagiaan, kejayaan dan kehidupan yang diberkati, namun terdapat syarat yang perlu dipenuhi iaitu membantu agama Allah melalui usaha dan tindakan yang berterusan. 

Semua orang mahu bahagia dan berjaya, tetapi syaratnya ialah kita membantu agama Allah, bukan hanya dengan kata-kata tetapi melalui usaha dan tindakan,” ujarnya. 

Beliau turut menjelaskan bahawa membantu agama Allah boleh dilakukan melalui pelaksanaan solat dengan sempurna, menjaga akhlak, menunaikan amanah serta mengajak kepada kebaikan dalam kehidupan seharian.

Selain itu, beliau turut menyentuh mengenai usia 40 tahun yang dianggap sebagai fasa kematangan dan kedewasaan seseorang. Perkongsian tersebutdikaitkan dengan Surah al-Ahqaf ayat 15 yang mengandungi doa bagi mereka yang mencapai usia 40 tahun agar diberikan ilham untuk mensyukuri nikmat Allah SWT, melakukan amal soleh yang diredai serta bertaubat kepada-Nya. 

Menurut beliau, usia 40 tahun bukan sekadar angka, sebaliknya merupakan waktu terbaik untuk bermuhasabah, memperbaiki kelemahan diri, menjauhi maksiat dan meningkatkan amalan sebagai persediaan menuju kehidupan yang lebih bermakna serta diredai Allah SWT. 

Perkongsian tersebut memberi peluang kepada warga PSB untuk menghayati mesej al-Quran dengan lebih mendalam, sekali gus menjadikan nilai-nilai Islam sebagai panduan dalam membina kehidupan yang seimbang, berakhlak mulia dan penuh keberkatan. 

Disediakan oleh: Siti Ainsyah Kamis
Gambar oleh: Mohd Amerul Shafiz bin Hasbullah

News Archive
Skip to content