PSB Online – Pada Khamis, 5 Ogos 2021 yang lalu, satu Sesi Pembentangan Konsep Penulisan Artikel oleh Ketua Unit dan Bahagian Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah berjaya diadakan.
Sesi pembentangan ini adalah anjuran Unit Latihan & Kualiti, PSB. Ianya bermula pada jam 9 pagi dan telah diadakan secara atas talian melalui platform Cisco Webex. Pembentangan konsep penulisan artikel ini adalah hasrat Ketua Pustakawan yang menginginkan semua 26 orang Ketua Bahagian dan Ketua Unit untuk membuat penulisan mengenai bidang kepustakawanan yang merangkumi bidang tugas masing-masing. Penulisan artikel tersebut bakal diterbitkan sebagai bab dalam buku atau Chapter in Book. Bab dalam buku ialah bab yang terkandung dalam sebuah buku, yang mana setiap bab mempunyai penulisnya tersendiri.
Semasa sesi pembentangan tersebut, pelbagai tajuk telah dicadangkan untuk kelulusan Ketua Pustakawan, En. Salleh Hudin Mustaffa. Antaranya adalah “Mengurus Muzium : Satu Pengalaman di Muzium Pengurusan UUM”, “Pustakawan Virtual : Pendekatan Masa Kini dan Impak Terhadap Kompetensi”, Jurnal Pemangsa : Kesan Terhadap Kualiti Penerbitan”, “Pembangunan Arkib Ilmiah : Cabaran dan Solusi” dan lain-lain tajuk lagi.
Kesemua pembentang telah diberi masa sebanyak 3 hingga 5 minit seorang untuk berkongsi tajuk dan skop penulisan artikel mereka dengan menggunakan slide pembentangan sebagai medium. Sebelum tarikh pembentangan, kesemua yang terlibat dikehendaki untuk memberi tajuk yang dipilih kepada urusetia pada 1 Ogos 2021 manakala slide pembentangan pula dikehendaki untuk dihantar selewat-lewatnya pada 2 Ogos.
Sesi pembentangan tersebut telah berjalan lancar dengan sedikit komen penambahbaikan oleh Ketua Pustakawan dan Timbalan Ketua Pustakawan iaitu En. Razak Siamin. Menurut En. Salleh Hudin, idea dan konsep kesemua pilihan tajuk pembentangan adalah baik dan semuanya berkaitan dengan bidang tugas masing-masing. Tujuan penulisan ini adalah untuk berkongsi pengalaman dan ilmu pengetahuan kepada semua yang berminat terutama yang terlibat dalam bidang kepustakawanan. Ini juga adalah sebagai inisiatif dalam menggalakkan lebih banyak pustakawan untuk membuat kajian, berfikiran kritis serta analitikal dalam penulisan mengenai bidang kepustakawanan.
Sebelum bersurai, Ketua Pustakawan sempat berkongsi kaedah penulisan manuskrip bab dalam buku yang baik antaranya adalah penulisan mesti mempunyai abstrak, kata-kunci, teks utama, rujukan dalam format American Psychological Association (APA), mempunyai gambar dan juga jadual. Selain itu beliau juga mengkehendaki agar kesemua penulis untuk mengikut format yang selaras seperti penyediaan manuskrip dalam bentuk word, penulisan minima 5000 dan maksima 7000 patah perkataan, permulaan ayat pada perenggan tidak perlu diindent dan lain-lain lagi. Tambah beliau, tarikh akhir penghantaran manuskrip adalah pada bulan September 2021.
Sesi ini tamat sekitar jam 1 tengahari dengan sesi bergambar beramai-ramai dengan paparan video masing-masing.
Disediakan dan gambar oleh : Noraini Alias