
PSB ONLINE: 23 Mac 2025 – Badan Kebajikan & Amal Kakitangan Perpustakaan (BAKAL) lagi sekali telah menganjurkan ceramah Ramadan Siri 2 yang disampaikan oleh YBhg. Ustaz Mohamad Sofian Haji Hussain. Beliau merupakan seorang pendidik yang berkhidmat di Maktab Rendah Sains MARA Arau, Perlis.
Beliau memulakan ceramah yang bertajuk “Ramadan & Al-Quran” dengan menceritakan kisah Nabi Daud, Jalut, dan Thalut. Dalam ceritanya, beliau menjelaskan bagaimana Allah memberikan kerajaan, kenabian, dan ilmu yang istimewa kepada Nabi Daud, termasuk kemampuan memahami bahasa burung. Disebabkan Allah menghantar pasukan yang hebat daripada pasukan Thalut, mereka berjaya mengalahkan tentera Jalut.
Beliau juga mengaitkan kisah ini dengan situasi di Gaza.
“Allah tidak akan memusnahkan dunia ini begitu sahaja melainkan untuk menguji umat-Nya terlebih dahulu sebelum memberikan kemenangan” kata beliau dalam mengingatkan sesama umat Islam cakna tentang Gaza.
Ramadan adalah bulan yang sangat penting dalam Islam. Ia merupakan bulan kesembilan dalam kalendar Islam dan dianggap sebagai bulan yang suci. Ramadan berasal dari perkataan Arab (Ramad), yang bermaksud “panas terik” atau “membakar”. Ini merujuk kepada panas yang sangat kuat atau pasir yang terbakar di bawah matahari. Dalam konteks Islam, ia melambangkan pembakaran dosa-dosa melalui amalan puasa dan ibadah yang dilakukan sepanjang bulan Ramadan.
Beliau turut berseloroh, “Bagaimana dengan Ramadan kita? Membakar dosa atau membakar lemak?” tanya beliau sambil ketawa kecil.
Beliau juga menyentuh tentang puasa yang dilaksanakan oleh ulama Imam Sahl al-Tustari dan menerangkan lebih lanjut mengenai amalan tersebut.
“Adakah kita buat, apa yang kita janjikan dengan penuh istiqamah?” tanya beliau lagi.
Ulama menetapkan beberapa peringkat muhasabah diri, termasuk menilai sama ada kita istiqamah dalam berpuasa sepanjang bulan Ramadan. Antara yang dikongsi oleh beliau ialah:
- Musharakah: Bererti perkongsian atau kerjasama. Dalam konteks Islam, ia merujuk kepada perjanjian kerjasama di mana keuntungan dan kerugian dibahagi mengikut nisbah yang dipersetujui.
- Muraqabah : Bererti pengawasan atau pengamatan. Dalam konteks Sufi, ia merujuk kepada pengawasan diri untuk mencapai kesatuan dengan Tuhan.
- Muhasabah : Bererti “penilaian diri”. Ia adalah proses refleksi dan penilaian diri untuk memperbaiki kelemahan dan meningkatkan kebaikan.
- Mua’qobah: Bererti “hukuman” atau “ganjaran”. Ia merujuk kepada tindakan mengganti atau membetulkan kesalahan yang telah dilakukan.
- Mujahadah Bererti “usaha” atau “perjuangan”. Ia merujuk kepada usaha keras untuk mencapai sesuatu matlamat, termasuk dalam ibadah dan pengendalian diri.
- Muhasarah : Bererti “kepungan” atau “pengepungan”. Ia merujuk kepada tindakan mengepung diri untuk memaksa ingatan kepada Allah.
- Muqasyirah: Bererti “pendek” atau “ringkas” nikmat yang kita tak nampak.
- Mushahadah: Bererti “penyaksian” atau “penglihatan”. Dalam konteks Sufi, ia merujuk kepada penyaksian atau penglihatan Tuhan yang diperoleh melalui hati yang tercerahkan.kelazatan atas nikmat Allah berikan.
Ustaz Mohamad Sofian Haji Hussain menekankan pentingnya Ramadan sebagai bulan yang penuh keberkatan dan peluang untuk memperbaiki diri. Beliau mengingatkan kita tentang keutamaan mengikuti sunnah Nabi Muhammad SAW dan bagaimana amalan tersebut dapat memberikan kesan yang mendalam dalam kehidupan kita. Dengan mengambil iktibar daripada kisah-kisah para nabi dan ulama, kita diingatkan untuk sentiasa bermuhasabah dan berusaha meningkatkan amalan ibadah kita. Ramadan bukan sahaja masa untuk membakar dosa, tetapi juga untuk perkukuhkan iman dan memperbaiki hubungan kita dengan Allah SWT.
Semoga kita semua dapat mengambil manfaat daripada ceramah ini dan mengamalkan ajaran yang disampaikan dalam kehidupan seharian kita demi meningkatkan tahap keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT.
Disediakan oleh: Siti Ainsyah binti Kamis
Gambar oleh: Zaihasrim bin Mohd Dawal