PEMBUKAAN SEMULA PERKHIDMATAN PSB DENGAN NORMA BAHARU

Tanggal 7 Jun 2020 pasti menjadi sejarah yang terpahat di kanvas diari Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) di mana pada tarikh ini, PSB telah dibuka semula kepada para pelajarnya setelah hampIr 3 bulan ditutup.

Walaupun hanya dibuka terhad kepada pelajar yang berada di dalam kampus Universiti Utara Malaysia (UUM) sahaja, namun ianya adalah merupakan satu petanda positif yang mencerminkan tahap kestabilan pengurusan serangan wabak pandemik Covid-19 yang sedang melanda negara kita ketika ini.

Hasil tinjauan, jelas sekali terpancar riak-riak keterujaan dan kegembiraan para pengguna melangkah masuk ke perpustakaan semula setelah kehidupan normal sebelum ini seakan terhenti seketika tatkala negara dilanda pandemik wabak Covid-19 yang menyebabkan kerajaan Malaysia terpaksa mengambil langkah drastik dengan mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kebanyakkan institusi telah diarahkan untuk ditutup.

Rata-rata pengguna PSB yang hadir adalah pelajar Pasca Siswazah dan kebanyakkan mereka adalah pelajar-pelajar antarabangsa selain segelintirnya adalah staf akademik. Mematuhi prosedur operasi  standard pasca Covid-19 yang telah digariskan, pembukaan semula PSB ini dilihat lancar dan terkawal dengan norma baharu pengendalian servis dan perkhidmatan.

Antara garis panduan yang telah ditetapkan adalah setiap pengguna yang ingin mamasuki perpustakaan, adalah diwajibkan untuk memakai pelitup mulut dan hidung, suhu badan diperiksa dan juga mencatat maklumat diri sebagai rekod rujukan masa akan datang sekiranya perlu selain menjaga had penjarakkan sosial. Setelah itu, mereka juga telah diberi kad nombor pengguna oleh petugas kaunter di pintu masuk  supaya pihak perpustakaan dapat memantau dan mengawal jumlah kemasukan adalah mengikut had  yang dibenarkan.

Mengadaptasi norma baharu pasca Covid-19, mungkin terdapat sedikit kekurangan dalam menyampaikan servis dan perkhidmatan terbaik kepada semua pengguna, namun pihak PSB telah berusaha dan berjaya mengawal perubahan ini dengan menyediakan prosedur operasi standard seperti kaedah peminjaman dan pemulangan bahan, tatacara kuarantin bahan, mempelbagaikan perkhidmatan dan kandungan digital dan lain-lain lagi. Apa yang sangat penting dilihat dan menjadi keprihatinan PSB buat masa kini adalah menjaga keselamatan dan kesihatan pengguna serta staf selain berusaha sebaik mungkin menyampaikan servis dan perkhidmatan yang bermutu tinggi dan memenuhi keperluan mereka.

Semoga, di masa hadapan, PSB dapat dibuka semula kepada semua pelajar dan tidak terhad kepada yang berada di kampus sahaja dan segala perubahan norma baharu ini dapat diadaptasi secepat mungkin secara lebih menyeluruh.

 

Disediakan dan gambar oleh: Noraini Alias