Menyingkap titian perjalanan kehidupan di dunia ini, seorang demi seorang staf perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah pergi menghadap Ilahi. Kehilangan ini seakan memberi peringatan kepada yang lalai dan lupa bahawa mungkin selepas ini adalah giliran kita pula menjadi sejarah. Iya, mati itu pasti, tiada sesiapa yang kebal dengan kematian. Namun kematian bukan satu pengakhiran. Ia adalah satu permulaan pada satu kehidupan yang satu lagi. Hidup yang kekal dan abadi selamanya
Pada tanggal 13 April 2020 bersamaan 19 Syaban 1441H yang lalu, PSB sekali lagi menerima khabar duka apabila salah seorang warga kerjanya iaitu Encik Muhamad Mazlan Jalla telah kembali ke Rahmatullah di kediamannya di Taman Suria, Jitra. Arwah meninggal kerana sakit kanser paru paru dan jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Hijrah sekitar jam 11.00 pagi. Pemergian beliau merupakan satu kehilangan yang besar buat PSB khususnya di Jabatan Khidmat Pelanggan, jabatan yang diterajuinya selama ini.
Pemergian Encik Mazlan sungguh mengejutkan walaupun sudah dijangka. Bos yang sihat dan jarang mengambil cuti sakit selama ini telah pergi tak kembali. Hasrat di hati ingin menziarahi beliau sekali lagi sebelum kehadiran Ramadhan tahun ini sama seperti kunjungan kami staf yang satu pejabat dengan beliau pada bulan Syaaban tahun lepas tetapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membatasi segalanya. Ralat rasa di hati kerana tidak dapat menziarahi jenazah beliau dan memberi penghormatan terakhir sebagai rakan setugas
Menyingkap tabir memori, Encik Mazlan adalah seorang ketua yang rajin bekerja, berdisiplin, amanah dan profesional dalam melaksanakan tugas sebagai Timbalan Ketua Pustakawan PSB. Beliau memiliki personaliti sebagai seorang yang pendiam, tenang, sentiasa positif dan penyabar kerana beliau tidak pernah meninggikan suara kepada semua staf bawahan mahupun pengguna PSB yang berurusan dengannya. Sebagai seorang Ketua Jabatan Khidmat Pelanggan, arwah lebih banyak menyendiri fokus kepada timbunan kerja di biliknya. Selain itu, beliau juga merupakan seorang yang mesra dan bersikap terbuka kepada sesiapa sahaja. Dia akan mendengar segala keluhan staf di bawah seliaanya tanpa berat sebelah dan memberi maklumbalas untuk penyelesaian masalah yang dihadapi.
Acapkali mungkin kerana ingin mengurangkan tekanan bekerja atau untuk bergaul mesra dan mendekati staf yang satu pejabat dengannya, arwah akan keluar berbual-bual, bertanya khabar diri dan keluarga stafnya, bergurau senda akan hal-hal semasa terutama hal politik Malaysia, kancah sukan bolasepak, gosip artis tempatan dan petua kesihatan dan masakan. Mengenali dengan lebih dekat lagi keperibadian beliau, dia adalah seorang yang suka membaca dan mengambil tahu dengan mendalam pelbagai petua kesihatan melalui sumber-sumber yang boleh dipercayai. Beliau suka menyediakan sendiri ramuan petua-petua tersebut dan mengamalkannya. Setelah itu beliau akan berkongsi keberkesanannya dengan staf-staf yang turut menghidap penyakit yang sama. Begitulah keperibadian beliau malah, dari sudut penjagaan kesihatan, beliau adalah seorang yang mengamalkan gaya hidup sihat dengan tidak merokok, tidak makan di luar dan sering membawa bekal daripada rumah dan arwah juga kerap berpuasa pada hari Isnin dan Khamis serta mengamalkan produk makanan sunnah yang dijamin suci lagi halal untuk kekal sihat seperti saranan Rasulullah S.A.W.
Semua tahu bahawa arwah adalah seorang yang amat mengambil berat soal kesihatan diri. Ini terbukti kerana beliau selalunya tidak pernah terlepas menghadiri ujian profil kesihatan anjuran Pusat Kesihatan Universiti (PKU) saban tahun dan keputusan yang diperolehi juga adalah di paras yang normal. Namun, sudah tertulis bahawa kanser paru-paru adalah asbab pemergian beliau dan kanser tidak mengenal siapa mangsanya malah pelbagai faktor juga boleh menyebabkan sel-sel kanser ini membiak aktif antaranya adalah tekanan stress. Di penghujung tahun 2018 ketika UUM sedang sibuk mengadakan pesta konvonya, Encik Mazlan telah mengambil cuti sakit dalam tempoh yang agak lama. Cuti sakit ini berterusan dan menimbulkan tanda tanya di kalangan sesama staf PSB mengenai sakit apakah yang ditanggungnya.
Datang Febuari 2019, tersebarlah khabar berita yang mengejutkan bahawa Encik Mazlan sedang menjalani rawatan kanser di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB). Beliau menderita sakit kanser paru-paru tahap 4 dan kanser ini diketahui kebiasaannya menyerang perokok walhal semua tahu bahawa beliau bukanlah seorang perokok. Sebagai pesakit kanser, beliau tidak boleh menerima tetamu untuk menziarahinya ketika dalam rawatan kimoterapi. Namun, pada bulan Syaaban tahun lepas, setelah selesai semua sesi kimo, akhirnya beliau sudi menerima kami menziarahinya dan itulah pertemuan terakhir sebelum beliau dijemput Ilahi baru baru ini.
Walaupun bergelar seorang pesakit kanser, Al-Marhum dikatakan seorang yang amat cekal dan tabah melawan penyakit beliau. Beliau sentiasa positif dan bersemangat menjalani apa saja rawatan yang disaran oleh doktor pakar yang merawatnya. Semangat yang beliau tonjolkan seharusnya menjadi teladan yang amat baik sekali kepada kita semua dalam menghadapi ujian Allah S.W.T. ini.
Kini beliau sudah tiada lagi di dunia ini. Segala gelak tawa dan usik-mengusik hanya tinggal kenangan. Pada 22 April 2020 yang lalu, pejabatnya di Bangunan Utama dan di Bangunan Tambahan PSB telah dikosongkan untuk memberi laluan kepada penghuni baharu untuk menyambung segala tugas di situ. Puteranya, Azim telah datang mengambil semua barangan peribadi abahnya untuk dibawa pulang. Katanya dengan sayu, inilah pertama kali dia datang melawat dan melihat tempat abahnya menghabiskan separuh usia berkhidmat kepada universiti dan negara.
Selamat jalan dan sekalung Al-Fatihah buat Al-Marhum Encik Muhammad Mazlan Jalla dan terima kasih atas segala jasa-jasamu. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya, mengampuni segala dosa dosanya, diterima amal bakti dan amal jariah dan dimasukkan ke dalam golongan orang beriman serta diberi kekuatan buat keluarga yang ditinggal untuk sabar dan tabah menghadapi ujian ini. Al-Fatihah.
Disediakan oleh: Azniza Ahmad
Gambar: Warga PSB