BAKAL GURU DARI IPG KAMPUS PERLIS KAGUM DENGAN FASILITI DAN KOLEKSI PERPUSTAKAAN SULTANAH BAHIYAH

PSB ONLINE: Pada 24 November 2024, seramai 75 orang pelajar dari Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PPISMP) Pengajian Melayu, Institut Pendidikan Guru Malaysia, Kampus Perlis, telah mengadakan lawatan kerja lapangan ke Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB), Universiti Utara Malaysia (UUM). Lawatan ini turut disertai oleh dua orang pensyarah, iaitu Tuan Haji Muhammad bin Tayab dan Puan Nur Hafizah binti Jamal Abdul Nasir.

Tujuan lawatan ini adalah untuk menjalankan kajian dan pengesanan bahan bagi kerja lapangan mengenai peranan tokoh-tokoh Bahasa Melayu. Para pelajar PPISMP berkenaan dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk tugasan mereka. Para pelajar PPISMP berpeluang mengakses pelbagai sumber rujukan yang terdapat di PSB.

Cik Noraini Alias dan Puan Wan Hanis Kamaruddin dari Seksyen Perundingan Maklumat telah menyampaikan taklimat ringkas mengenai perkhidmatan, kemudahan dan koleksi PSB kepada para pelajar PPISMP. Para pelajar PPISMP juga diberi panduan mengesan maklumat dari koleksi yang terdapat dalam PSB. Para pelajar PPISMP mengambil peluang untuk membuat pencarian bahan yang diperlukan bagi menyiapkan penulisan tugasan akademik mereka.

Lawatan ini memberi peluang kepada para pelajar untuk memperluas pengetahuan mereka, bak kata pepatah, “jauh perjalanan, luas pemandangan”. Diharapkan lawatan ini dapat memberi manfaat yang signifikan kepada semua pelajar yang terlibat dan menjadi inspirasi untuk lebih banyak aktiviti dalam menambah pengetahuan mereka melalui sumber-sumber maklumat akademik yang ditawarkan oleh PSB pada masa akan datang.

-TAMAT-

Disediakan oleh:

Siti Ainsyah binti Kamis
Penolong Pustakawan (S29)
Bahagian Komunikasi Korporat