BENGKEL PENERBITAN JURNAL BANTU PENYELIDIK HASILKAN PENULISAN TERBAIK

PSB Online – Bengkel “Where to Publish: A Guide To Find The Right Journal For Your Publication” telah diadakan pada 14 Ogos 2022 bertempat di Makmal Komputer 2, Bangunan Tambahan, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB).

Bengkel anjuran PSB ini membawakan Dr. Benny Ang, seorang Konsultan  Platform dari ScienceDirect Elsevier, Asia Tenggara untuk berkongsi pelbagai informasi berguna kepada peserta yang hadir.

Dr. Benny adalah graduan Ph.D dalam bidang Pharmacology & Toxicology dan telah menghasilkan sebanyak 19 artikel berwasit dalam beberapa jurnal berimpak tinggi yang berkuartil Q1 dan Q2. Beliau juga kini memiliki H-index 11. Selain itu, Dr. Benny juga pernah berkhidmat sebagai seorang pensyarah universiti sebelum  menyertai ScienceDirect Elsevier.

Berbekalkan pengalaman yang begitu meluas, antara perkongsian bermanfaat dari Dr. Benny adalah mengenai bagaimana penyelidik boleh mencari jurnal yang betul dan bersesuaian dengan hasil kajian mereka seperti bertanya kepada rakan-rakan dan penyelia, mentor atau penulis artikel di dalam bidang yang sama selain mereka juga boleh mengadakan konsultasi bersama Pustakawan.

Selain itu, menurut Dr. Benny, penyelidik boleh menggunakan beberapa alat bantuan pencarian jurnal yang boleh didapati di pasaran secara berbayar atau percuma seperti Directory of Open Acces Journal (DOAJ), Journal Finder, Scopus, Journalguide, Edanz Journal Selector dan lain-lain lagi. Beliau juga mengingatkan bahawa sebelum memilih jurnal untuk diterbitkan, terdapat beberapa faktor yang perlu diambilkira jika tidak mahu menyesal di kemudian hari seperti kepentingan pengindeksan, reputasi jurnal, metrik jurnal, mandat institusi, peluang penerimaan untuk penerbitan dan beberapa faktor lain lagi.

Bengkel ini telah dihadiri oleh seramai 20 orang peserta yang terdiri daripada pensyarah akademik, pelajar dan pustakawan. Bermula pada jam 2.30 petang, bengkel ini tamat sekitar jam 4.30 petang  selepas sesi bergambar beramai-ramai.

 

Disediakan oleh: Noraini Alias

Gambar oleh: Noraini Alias dan Fadzilah Hussin