BENGKEL TURNITIN DAN HBP BANTU STAF PSB HADAPI PENGGUNA

PSB Online  –  Satu Bengkel Turnitin dan Harvard Business Publishing (HBP)  telah diadakan secara  atas talian  melalui aplikasi Cisco Webex  pada 18 Febuari 2021 bermula dari pukul 9.00 hingga 11.00 pagi. Bengkel ini telah dianjur oleh Unit Latihan dan Kualiti, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) dengan objektif  untuk menambah ilmu  pengetahuan dan kemahiran kepada kakitangan PSB terutama  kepada para petugas  Kaunter Infodesk sekiranya ada  sebarang pertanyaan  lanjut  mengenai  perkhidmatan Turnitin dan Harvard Business Publishing (HBP).

Turnitin merupakan pangkalan data  yang menyediakan perkhidmatan  memeriksa bahan bertulis bagi tujuan mengelakkan kes plagiat daripada  berlaku. Perisian ini berupaya mengesan dan mengenalpasti sumber-sumber  maklumat yang dipetik oleh pelajar dalam penulisan mereka dengan membandingkannya dengan sumber yang ada di dalam pangkalan data Turnitin.  Sementara Harvard Business Publishing (HBP) pula adalah pangkalan data yang dilanggan oleh PSB sebagai penyedia utama bahan pengajaran kepada pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM). Pangkalan  HBP menyediakan kajian kes, simulasi dan  artikel dari 15 disiplin dengan 45,000 bahan pembelajaran.

Bengkel ini telah dikendalikan sepenuhnya oleh Cik  Nor Alia Askandar, Pustakawan dari Unit Perundingan Maklumat PSB.  Bimbingan bengkel  ini terdiri dari  dua sesi iaitu sesi pertama mengenai  pangkalan data Turnitin dan sesi kedua pula mengenai penggunaan pangkalan Harvard Business Publishing (HBP). Semua pangkalan data ini boleh diakses melalui platform e-resources yang tersedia  di Laman Web PSB. Sepanjang bengkel berlangsung para peserta seramai 42 orang telah didedahkan tentang tatacara  mengakses dan mengguna pangkalan data ini beserta beberapa info terkini , terutama  mengenai  tatacara mengakses borang permohonan atas talian serta tempoh masa  perkhidmatan untuk memenuhi kehendak dan keperluan pelanggan.

Di akhir bengkel, Cik Nor Allia  sebagai fasilitator, memohon kepada semua peserta untuk  memberi komen serta menilai penyampaiannya dan kandungan persembahan bengkel ini untuk tujuan petunjuk prestasi utama (KPI) Bahagian Perkhidmatan Pengguna dan  juga untuk beliau sendiri  memperbaiki  prestasi penyampaiannya di masa hadapan.

Semoga semua peserta yang mengikuti bengkel ini terutama para petugas kaunter, agar dapat memantapkan lagi keyakinan diri dan menambah pengetahuan  mereka dalam memahami tatacara permohonan menggunakan pangkalan data ini dan akan lebih kompeten dalam membantu memenuhi keperluan pelanggan PSB.

 

Disediakan dan gambar oleh : Azniza Binti  Ahmad