Assamualaikum semua….
“Kisah ini adalah mengenai pengalaman saya sepanjang menjalani latihan praktikum di Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB), Universiti Utara Malaysia (UUM). Sebagai penuntut semester ketujuh jurusan Pengurusan Maklumat (Sains Perpustakaan), semua pelajar diwajibkan mengambil kod kursus IMC690 iaitu Industrial training.
Pada 1 ogos 2016, bermulalah latihan praktikum saya di Perpustakaan Sultanah Bahiyah. Setibanya saya di sini, saya telah diberi penerangan secara ringkas dan padat mengenai carta organisasi, visi, misi dan piagam pelanggan PSB oleh Ketua Pustakawan iaitu Encik Salleh Hudin Mustaffa. Setelah itu saya dibawa ke semua bahagian dan telah diberi taklimat ringkas oleh Ketua Bahagian mengenai objektif dan cara kerja di setiap bahagian. Ini adalah proses biasa bagi semua pelajar praktikum dan ianya adalah sepanjang tempoh orientasi iaitu lebih kurang 2 minggu.
Setelah itu, saya ditempatkan di Jabatan Automasi iaitu di Bahagian Sistem Komputer Perpustakaan (BSKP). Di sini, terdapat banyak perkara yang telah saya pelajari terutamanya mengenai perkara-perkara yang melibatkan sistem utama di PSB. Sungguh kerdil diri ini rasanya sepanjang tempoh latihan praktikum saya di sini kerana hanya saya seorang pelajar praktikum di sini dan untuk tempoh yang agak lama juga iaitu 5 bulan, dari Ogos 2016 sehingga DIsember 2016. Walaubagaimanapun, ianya tidak mematahkan semangat saya malah ianya memberi lebih semangat dan inspirasi untuk saya meningkatkan keyakinan dan motivasi diri dan hasilnya terdapat banyak ilmu pengetahuan dan kenangan manis yang telah tercipta sepanjang keberadaan saya di sini.
Sepanjang penempatan saya di sini, pelbagai aktiviti dan program yang telah dijalankan turut saya sertai. Antaranya ialah Program Memperkasa Jati Diri Staf Perpustakaan Sultanah Bahiyah. Program ini telah diadakan di Pulau Redang, Terengganu. Sepanjang program ini pelbagai aktiviti yang telah dijalankan seperti water confident, abseiling, snorkeling, treasure hunt, aktiviti membuat rakit, lawatan ke tapak peninggalan penempatan Vietnam, dan jungle trekking. Program ini adalah amat penting untuk meningkatkan semangat berpasukan dan jati semua staf PSB.
Akhir kata, latihan praktikum ini banyak memberi pengalaman dan pengetahuan tentang alam pekerjaan kepada saya. Selain itu, ianya juga amat penting dan berguna kepada semua pelajar tahun akhir untuk melihat sendiri cara kerja dalam setiap organisasi yang mereka ceburi. Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua staf PSB yang telah banyak memberi tunjuk ajar dan ilmu sepanjang tempoh saya menjalani latihan praktikum di sini. Di kesempatan ini juga, saya ingin memohon maaf sekiranya terdapat salah dan silap sepanjang saya berada di sini.
Tanggal 29 Disember 2016, maka tamatlah tempoh latihan praktikum saya di Perpustakaan Sultanah Bahiyah. Semoga hari mendatang bakal memberi sinar yang positif terhadap diri saya dalam menempuh alam pekerjaan kelak. Doakan kejayaaan saya. “
Sekian.
Disediakan oleh : Mazniza Shaari
Gambar oleh : Mohamad Fuzi Ismail