“COZYART BEAN BAG : RECYCLED BEANBAG COUCH” DINOBAT SEBAGAI JUARA PERTANDINGAN INOVASI STAF 2021

PSB Online – Jawatankuasa 5S Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) tahun lalu telah menganjurkan satu Pertandingan Inovasi Staf 2021 yang terbuka kepada semua warga PSB. Pertandingan ini merupakan inisiatif jawatankuasa untuk menonjolkan idea serta bakat terpendam warga PSB untuk menghasilkan inovasi yang menyumbang kepada kebaikan dan keselesaan di tempat kerja.

Pada 17 Julai 2022 yang lalu, Sesi Penyampaian Hadiah Pertandingan Inovasi Staf PSB 2021 telah diadakan di Bilik Mesyuarat Paras 1, Bangunan Utama pada jam 3.00 petang. Sesi ini turut menghimpunkan kesemua 7 finalis dan ahli jawatankuasa yang lain. Hasil inovasi para peserta ini telah dinilai oleh juri-juri yang dilantik dan penjurian dibuat melalui video yang telah dihantar oleh semua peserta.

“Cozyart Bean Bag: Recycled Beanbag Couch” hasil idea En. Ishar Md Zain dari Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Maklumat Ilmiah (BPKMI) telah berjaya menambat hati juri dan seterusnya dinobat sebagai juara Pertandingan Inovasi Staf 2021. Beliau telah membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM200 beserta sijil penghargaan. Projek Bean bag yang dihasilkan ini adalah hanya dengan menggunakan barangan terpakai yang dikitar semula seperti kertas untuk dilupus yang telah dirincih dan juga menggunakan kain langsir terpakai. Sebanyak 6 buah Bean bag telah berjaya dihasilkan dan Bean bag ini diletakkan di ruangan santai Green Corner BPKMI. Ruangan ini digunakan untuk staf beristirehat sejenak dan untuk membantu kesihatan mental dan fizikal staf.

Tahniah juga diucapkan kepada pemenang tempat kedua pertandingan iaitu Puan Noor Khairul Izani Mohammad Nadzim dengan projek beliau “DIY Faceshield’ yang dihasilkan menggunakan plastic cover tesis terpakai. Manakala tempat ketiga dimenangi oleh Pn. Nurfariza Muslin dengan projek bertajuk “DIY Bubble Wrap Extender” untuk kegunaan perkhidmatan Pinjaman Antara Perpustakaan. Walaupun saudara Ishar dan saudari Nurfariza tidak dapat hadir ke sesi penyampaian ini, namun wakil yang menerima adalah rakan-rakan seperjuangan yang turut gembira atas kejayaan rakan-rakan yang lain. Sesi penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Ketua Pustakawan iaitu En. Salleh Hudin Mustaffa dengan diiringi oleh Pengerusi Jawatankuasa 5S iaitu Pn. Rahimah Ishak.

Di kesempatan ini, Ketua Pustakawan turut menzahirkan ucapan tahniah atas inovasi kreatif warga PSB yang telah ditonjolkan dan beliau juga teruja serta berminat untuk memperkembangkan projek Bean bag tersebut ke peringkat Perpustakaan. Menurut beliau, projek ini mampu memberi manfaat kepada pengguna dengan hanya menggunakan bahan terpakai dan kitar semula sahaja. Beliau turut mengucapkan sekalung tahniah kepada juara serta pencetus idea ini dan semua yang terlibat menjayakannya.

Pertandingan Inovasi Staf anjuran Jawatankuasa 5S ini amat sesuai dalam mengetengahkan idea-idea baharu khususnya di kalangan warga PSB agar dapat diperluaskan untuk kemanfaatan bersama. Syabas kepada barisan jawatankuasa dan tahniah kepada para pemenang.

 

Disediakan oleh: Noraini Alias

Gambar oleh: Abd Hadi Mat Taib