PSB Online – Pada 8 Mac 2021, seramai 22 orang staf telah terlibat menyaksikan demo proses sanitasi bangunan Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) anjuran Bahagian Perkhidmatan Pengurusan PSB.
Proses demo ini bermula pada jam 8.30 pagi dan bertempat di ruang legar Auditorium 1, Aras 1, Bangunan Utama PSB. Dimulai dengan kata alu-aluan oleh Pn. Norma Said dan kemudiannya diikuti dengan taklimat ringkas oleh En. Saarif Rosli Saarif Ahmad mengenai proses demo. Menurut beliau, tujuan utama diadakan proses demo ini adalah untuk menjamin keselamatan pengguna agar terhindar daripada bakteria dan kuman dalam mencegah penularan wabak Covid-19 selain memastikan mereka merasa selamat apabila mengunjungi perpustakaan. Kunjungan ke PSB dijangka bertambah bermula 14 Mac 2021 nanti kerana waktu operasi PSB telah dipanjangkan dan para pelajar juga telah kembali ke kampus bermula 8 Mac 2021 yang lalu bagi meneruskan sesi pembelajaran mereka.
Setelah itu, proses demo telah ditunjukkan oleh saudara Helmi Salam Ab. Ghani dari Unit Penyenggaraan Bangunan. Beliau telah menunjukkan cara-cara yang betul dalam mengendalikan alatan-alatan sanitasi dengan kesemua peserta diberi tunjuk ajar bermula dari proses mengenakan pakaian yang sesuai seperti memakai baju kalis cecair dan face shield, serta pengendalian alat penyembur cecair pembasmi kuman. Proses sanitasi ini wajib dilaksanakan setiap hari memandangkan PSB bakal dibuka setiap hari dan ianya perlu dilakukan 30 minit sebelum waktu pembukaan. Antara tempat-tempat yang perlu diberi tumpuan utama adalah tempat yang sering menjadi tumpuan pelajar seperti Kaunter One Stop Center, ruang bacaan, ruang pejabat, sekitar laluan pengguna dan lain-lain.
Beberapa orang peserta juga turut mencuba menggunakan alat ini dan ternyata ianya mudah, ringan dan selamat untuk dikendalikan. Kesemua peserta adalah wakil dari setiap bahagian di PSB. Bahagian Perkhidmatan Pengurusan juga turut membekalkan peralatan seperti alat penyembur, face shield dan baju kalis cecair untuk digunakan semasa melaksanakan proses sanitasi di bahagian masing-masing nanti. Manakala cecair pembasmi kuman akan diberi pada setiap pagi.
Proses demo sanitasi bangunan PSB ini tamat sekitar jam 10.00 pagi.
Disediakan dan gambar oleh: Noraini Alias