Kakitangan Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) dan pelajar Universiti Utara Malaysia telah meluangkan masa selama 10 minit bertempat di Postgraduate Common, Paras 2 Bangunan Tambahan untuk sama-sama menyahut seruan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) meraikan Program Jom Baca Bersama 10 Minit (Let’s read together) pada 24 April 2018 bermula dari jam 11.00 hingga 11.10 pagi yang diadakan serentak diseluruh negara.
Program yang mendapat sambutan seramai 42 peserta ini dianjurkan sempena Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia. Ia merupakan sebahagian daripada gerakan membaca yang dijalankan setiap tahun sebagai usaha berterusan membentuk masyarakat yang membudayakan tabiat membaca.
Dalam menjayakan kempen ini, Perpustakaan telah mengambil initiatif awal membuat hebahan di laman sesawang PSB serta mengedar risalah kepada semua pelajar yang datang ke Perpustakaan supaya mereka cakna akan tarikh dan tempat program ini dijalankan.
Sebagai pengisian 10 minit, bahan bacaan ringan seperti novel yang santai tetapi ada nilai telah dipilih sebagai bahan bacaan para peserta. Novel dipilih kerana bacaan yang ringan dan mudah dapat menghilangkan tekanan belajar para pelajar yang selama ini terbeban dengan bahan bacaan akademik dan ilmiah.
Program yang memberi impak ini diharapkan berterusan dengan penglibatan lebih menyeluruh warga Universiti dalam memupuk dan meningkatkan kesedaran seluruh warga UUM mengenai kepentingan amalan budaya membaca dalam pembentukan masyarakat yang maju dan berilmu.
Disediakan oleh : Azniza Ahmad
Gambar : Norhardi Saad dan Siti Nor Hajar Abdul Rahman