
PSB ONLINE: 29 April 2025 – Majlis Silaturrahim PSB 2025 telah berlangsung dengan meriah diringi dendangan pelbagai lagu raya serta kehadiran staf PSB berbusana raya. Majlis ini diserikan dengan bacaan doa oleh Encik Mohd Iruan bin Hussin, diikuti kata aluan oleh Pengerusi Badan Amal dan Kebajikan Perpustakaan (BAKAL) dikuti ucapan oleh Penaung BAKAL iaitu Ketua Pustakawan, Prof. Dr. Che Azlan bin Taib.
Dalam amanatnya, beliau menekankan pentingnya mencapai 41 KPI yang telah ditetapkan dan mengucapkan tahniah kepada semua yang terlibat dalam program sepanjang tahun 2025. Beliau juga menyatakan harapan agar acara LebaRun yang telah berlangsung buat kali pertama pada 26 April 2025 yang lalu, dapat dijadikan acara tahunan. Beliau juga mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada mereka yang mendapat kenaikan pangkat.
Beliau turut menekankan pentingnya sokongan dan kerjasama dari semua pihak untuk memastikan setiap bahagian mencapai objektif yang telah ditetapkan. Beliau turut mengingatkan semua untuk mengamalkan nilai-nilai yang dipelajari sepanjang bulan Ramadan yang baru sahaja melabuhkan tirainya dan meneruskannya amalan mulia dan ibadat dalam kehidupan seharian. “Amalkan falsafah Ramadan, jadilah manusia yang baik di bulan Ramadan dan seterusnya. “Bekalkan diri dengan amal kebaikan dan ilmu untuk kehidupan yang lebih baik,” katanya.
Majlis ini turut meraikan staf yang bertukar jabatan iaitu Puan Noorlyza Abd Halim yang bertukar ke Jabatan Hal Ehwal Akademik, menjadikan acara ini lebih bermakna dan penuh dengan kenangan. Pelbagai acara menarik turut dijalankan sepanjang majlis, termasuk penyampaian cenderahati pertukaran jabatan, cenderahati kepada Kumpulan tadarus Al-quran sepanjang Ramadan, pemenang busana terbaik kategori lelaki dan wanita, serta anugerah staf paling sporting kategori lelaki dan wanita.
Pelbagai juadah yang menarik yang sememangnya sedap dan sinonim dengan sambutan hari raya dihidangkan bagi menjamu selera tetamu yang hadir. Menu wajib raya sudah tentu tidak terkecuali hidangan yang disajikan, iaitu ketupat, lemang dan rendang, laksam dan laksa, kuih muih juga menu utama kambing panggang serta nasi putih, gulai daging rias pisang, ayam goreng berempah, ulaman sambal belacan, dan banyak lagi menu sampingan yang lain.
Jamuan Raya BAKAL PSB 2025 bukan sahaja berjaya meraikan staf yang bertukar jabatan, tetapi juga mengukuhkan hubungan silaturrahim dan kerjasama antara staf melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan. Diharapkan majlis seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang untuk terus memupuk semangat kekeluargaan dan kerja berpasukan dalam kalangan warga PSB.
Disediakan oleh: Siti Ainsyah binti Kamis
Gambar oleh: Syed Muhammad Amirul Ashraf bin Syed Ismail