Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah menerima satu lawatan audit penilaian Amalan Persekitaran Berkualiti QE/5S Peringkat Universiti bagi tahun 2019 daripada pasukan audit yang telah dilantik oleh Institut Pengurusan Kualiti (IPQ) Universiti Utara Malaysia (UUM) pada hari Rabu 28 Ogos 2019 yang lalu. Lawatan ini telah bermula seawal jam 9.30 pagi dan bertempat di Bilik Mesyuarat Aras Satu, Bangunan Utama PSB.
Auditor yang hadir adalah terdiri daripada 3 orang iaitu Encik Muhammad Khairul Munawwar Bin Ismail selaku ketua auditor dari Pusat Pengajian Teknologi dan Komunikasi, Encik Nor Afiq Bin Abd. Razak dari Pusat Pengajian Ghazali Shafie Graduate School of Government, dan Encik Zor Bin Mat Nor dari Jabatan Pendaftar UUM.
Tujuan audit ini dilaksanakan adalah bagi memastikan PSB sebagai sebuah yang PTJ senantiasa mengamalkan standard QE/5S mengikut kriteria yang telah ditetapkan oleh pihak IPQ bagi mencapai sekurang kurangnya 3 bintang untuk memenuhi KPI teras 2 UUM. Sebagai permulaan audit, satu taklimat lengkap tentang semua aktiviti 5S sepanjang tahun 2019 telah disampaikan oleh Encik Razak Siamin, Pustakawan Kanan selaku wakil dari Pihak Pengurusan PSB.
Proses audit bermula di Zon Delima yang bertempat di aras satu Bangunan Utama dan diakhiri di Zon Zamrud, Bangunan Tambahan PSB. Sepanjang proses audit ini berlangsung, pada kali ini, PSB telah dinilai daripada aspek keperluan utama pelaksanaan 5S, ruang pejabat, perkhidmatan kaunter, tempat simpanan, tempat umum dan kawasan persekitaran PTJ.
Di penghujung lawatan audit ini, satu sesi penutup telah diadakan di mana rumusan audit telah disampaikan oleh Encik Zor selaku wakil juruaudit. Beliau memulakan dengan ucapan tahniah kepada PSB kerana masih konsisten dalam mengekalkan pembudayaan 5S. Beliau juga turut memberi beberapa saranan untuk perhatian dan tindakan PSB berpandukan hasil penemuan audit mereka agar dapat dibuat penambahbaikan. Antara komen yang diberi adalah mengenai penyeragaman audit dalaman, bilik pelupusan , tandas OKU, perhiasan dinding dan beberapa lagi yang wajar diberi lebih tumpuan di masa akan datang. Tambah beliau juga, PSB juga berpeluang untuk disenaraipendekkan dan berada dalam kedudukan 5 teratas untuk diaudit kali kedua oleh IPQ kelak dan usaha yang berterusan perlu dilakukan.
Secara keseluruhannya, proses audit ini telah berjalan dengan lancar dan mendapat kerjasama yang sangat baik dari seluruh wargakerja PSB. Audit berakhir pada jam 12.50 tengahari dengan sesi menandatangani buku pelawat dan penyampaian cenderahati oleh Encik Norhardi Saad kepada semua auditor.
Disediakan oleh : Azniza Binti Ahmad
Gambar : Mohamad Fuzi Ismail