LAWATAN BALAS PENANDARASAN QE/5S PSB KE UUMIT

PSB Online  – Jawatankuasa 5S Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah mengadakan satu lawatan penandaarasan budaya amalan persekitaran berkualiti QE/5S  ke Pusat Teknologi Maklumat Universiti Utara Malaysia (UUMIT) pada 27 Julai 2022.

Objektif lawatan ini adalah bagi memenuhi perancangan carta gerak kerja aktiviti 5S PSB. Selain itu dengan mengadakan penandaarasan, PSB dapat mempertingkatkan prestasi masa kini. Walaupun prestasi PSB berada di tahap memuaskan, dengan melakukan penandaarasan ia dapat merangsang Jawatankuasa 5S untuk mencari idea yang lebih baik lagi untuk dilaksanakan di tempat sendiri.

Lawatan ini juga merupakan lawatan balas PSB ke UUMIT  bagi mengeratkan lagi rangkaian kerjasama antara jabatan serta sebagai motivasi dan sokongan untuk mengekalkan momentum prestasi amalan terbaik 5S di tempat kerja masing-masing.

Delegasi PSB telah sampai di Foyer UUMIT pada pukul 10.30 pagi dan  disambut mesra oleh  Jawatankuasa 5S UUMIT. Rombongan 5S PSB ini telah diketuai oleh Puan Rahimah Ishak, Pengerusi 5S PSB bersama-sama dengan 20 orang lagi peserta rombongan yang terdiri daripada ahli  Jawatankuasa 5S dan Ketua-Ketua bagi setiap Zon 5S di PSB.

Bertempat di Bilik Mesyuarat London, sesi lawatan dimulai dengan taklimat mengenai pelaksanaan amalan 5S di UUMIT oleh Pengerusi Jawatankuasa 5S UUMIT iaitu Puan Amida Abdullah, Pegawai Teknologi Maklumat UUMIT. Sejurus selesai taklimat, satu sesi perkongsian maklumat dan pandangan antara sesama ahli Jawatankuasa 5S diadakan untuk tujuan proses penambahbaikan berterusan prestasi 5S  jabatan masing-masing. Setelah itu rombongan PSB telah dibawa melawat  ke seluruh ruang di jabatan UUMIT untuk staf PSB melihat dengan lebih jelas lagi pelaksanaan dan amalan 5S tuan rumah. Antara lokasi lawatan ialah  Bilik Fail, Surau, Pantry, ruang kerja staf UUMIT di lokasi yang diberi nama Hawaii, Bora-Bora, Madagascar, ruang informasi 5S, Taman Botani dan juga ITOC.

Sesi lawatan ini telah berakhir di ruang Staff Lounge pada pukul 12.45 tengahari dengan sesi bergambar dan pemberian cenderahati sebagai tanda kenang-kenangan lawatan. Jawatankuasa 5S PSB  berpuashati dengan sesi lawatan ini yang berjalan lancar seperti yang dirancang dan mengucapkan ribuan terima kasih atas layanan mesra tuan rumah.

 

Disediakan oleh : Azniza Binti  Ahmad

Gambar :  Abdul Hadi Mat Taib