MENYEMAI RASA EMPATI , HULURKAN BANTUAN KEPADA YANG MEMERLUKAN

PSB Online  –  Tanpa kita sedari apa sahaja yang kita buat di atas muka bumi ini mampu menjadi satu ibadah. Begitu juga dalam menggembirakan dan menyenangkan urusan orang lain. Membantu manusia lain juga adalah satu ibadah dan merupakan sunnah Rasulullah SAW. Bagaimana cara kita melayan seseorang Orang Kelainan Upaya (OKU)  dapat mencerminkan sifat empati kita terhadap golongan istimewa ini. Dalam hidup ini, tidak semua orang beruntung Allah kurniakan sekeping hati emas. Hati yang mudah tersentuh dan prihatin  dengan kesusahan orang lain. Hati yang ikhlas sanggup bersusah payah mengorbankan masa dan tenaga membantu golongan yang memerlukan tanpa mengharapkan apa-apa imbuhan  dunia.

Begitulah  dengan hati emas Puan Rozana Zakaria yang mesra di sapa Along oleh teman-temannya. Bagi Along, insan yang terbaik adalah insan yang tinggi rasa empatinya, insan yang mampu meletakkan diri sendiri untuk merasai kegetiran dan kepayahan orang lain. Oleh itu Along tidak teragak-agak menolong seorang pelajar orang kelainan upaya  penglihatan Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk berulang alik dari Taman Perumahan Kakitangan UUM ke Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) pada setiap hari bekerja mahupun pada hari cuti hujung minggu. Di kalangan rakan sekerja, Along memang dikenali sebagai seorang yang mudah menghulurkan bantuan sekiranya diperlukan. Begitu juga di kalangan jiran tetangganya di Taman Semarak Api Fasa 2, Sintok. Along seorang yang mudah didekati, cepat mesra dan prihatin akan kesusahan rakan sekerja atau sesiapa sahaja. Bagi Along, hatinya mudah tersentuh  apabila melihat kesusahan orang lain. Baginya  selagi  ada masa  dan kudrat, pasti beliau akan menghulurkan bantuan.

Along kini bertugas sebagai  seorang Pembantu Pustakawan di Unit Perancangan Strategik  Universiti, PSB. Sebelum ditukarkan ke Unit  ini, Along bertugas di Unit Perkhidmatan Pelanggan yang mana salah satu skop tugasnya adalah bertanggungjawab membantu memudahkan urusan semua pelajar OKU UUM yang ingin menggunakan perkhidmatan dan kemudahan di PSB. Di kesempatan inilah Along bertemu dan mengurus kebajikan pelajar OKU yang bernama Harziah Bt. Khalid Yunus pelajar pasca siswazah Sains Pengurusan UUM berasal dari Sabah.  Harziah mengalami masalah penglihatan sejak dari kecil lagi dan sekarang menginap di Taman Perumahan Kakitangan UUM. Sebagai seorang pelajar yang mengalami masalah penglihatan, pergerakan Harziah amat terbatas dan memerlukan pertolongan orang lain untuk bergerak dari rumahnya untuk ke mana-mana lokasi sekitar kampus. Di sinilah Along , setiap pagi dalam kesibukannya mengurus 4 orang anaknya ke sekolah dan Taman Asuhan, beliau berusaha semampu mungkin membantu Harziah. Setiap pagi selepas menghantar anak kecilnya ke Pusat Perkembangan Kanak-kanak Tunku Puteri Intan Shafinaz, Along akan  bergegas menjemput Harziah pula untuk datang ke PSB ataupun ke Pusat Pengajian beliau, dan  seterusnya menghantarnya pulang selepas  tamat waktu bekerja.

Bagi Along rutin ini bukanlah bebanan baginya, malah ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Along tetap menguruskan kebajikan Harziah untuk datang ke PSB walaupun pada hari itu beliau perlu bekerja dari rumah. Sekiranya ada kekangan masa Along tidak dapat membantu mengambil dan menghantar Harziah, Along akan memastikan ada penggantinya untuk mengurus kebajikan Harziah. Di samping  mengurus pergi dan pulang ke perpustakaan, Along juga dengan senang hati membantu membeli barang-barang keperluan dapur,  barangan peribadi  atau barangan untuk  tujuan pembelajaran  yang diperlukan Harziah. Kadang-kala, Along terpaksa  memandu ke bandar Changloon yang mengambil masa kira-kira 15 minit sekiranya barangan yang  ingin dibeli tidak dijual di sekitar  Sintok.

Begitulah Along mencari jalan untuk menyantuni dan mengembirakan orang kelainan upaya di tempat kerjanya. PSB merasa bangga mempunyai modal insan yang mulia seperti Along sebagai salah seorang kakitangannya. Semoga usaha murni Along menyantuni nasib OKU menjadi contoh dan teladan kepada orang lain. Di dunia ini, tiada siapa yang mahu  dilahirkan kurang upaya. Tidak ada ibu bapa yang ingin anaknya lahir dalam keadaan yang tidak sempurna. Namun segalanya telah tersurat, hanya Dia yang Maha Mengetahui tiap sesuatu yang diciptakanNya. Segalanya penuh hikmah, terdapat rahsia yang kita  tidak berupaya membacanya.

Mudah-mudahan Allah SWT menggolongkan kita ke dalam golongan hamba-Nya yang sentiasa berbuat kebaikan serta dapat memberikan manfaat buat manusia yang lain.

 

Disediakan oleh : Azniza Binti  Ahmad

Gambar :  Rozana Zakaria