Muzium Online – Pada 23 Mei 2022, Muzium Pengurusan Universiti Utara Malaysia (UUM) telah berbesar hati menerima lawatan sambil belajar dari 26 orang pelajar Pusat Asasi Pengurusan UUM. Para pelajar ini telah mengambil kesempatan meluangkan masa mengunjungi Muzium kerana ingin menambah pengetahuan tentang sejarah perjuangan bumi Sintok dari satu kawasan hitam sehingga berjaya dibangunkan menjadi sebuah universiti pengurusan yang terkemuka di Malaysia. Selain itu lawatan ini amat bermanfaat buat mereka kerana mereka adalah pelajar yang mengambil subjek Pengenalan Sejarah Awam (SADN 1213) bagi semester ini.
Turut serta mengiringi rombongan ini ialah pensyarah mereka sendiri iaitu Timbalan Pengarah 1, Pusat Asasi Pengurusan UUM iaitu Prof. Madya Dr. Mohamed Ali Bin Haniffa dari Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah UUM.
Di dalam sesi lawatan tersebut, para pelajar telah diberi taklimat oleh Ketua Unit Perkhidmatan Pelawat, Encik Hisomuddin Abdullah, Pustakawan Perpustakaan Sultanah Bahiyah. Mereka telah diberi penerangan berkenaan setiap bahan dan artifak yang dipamerkan seperti senjata-senjata lama, barang tinggalan yang pernah digunakan oleh pihak komunis dan pelbagai replika bersejarah yang berharga dan tinggi nilai sejarahnya.
Selain dari lawatan ke semua sudut pameran dan ruang audio, para pelajar juga dibawa mengunjungi Bilik Konservasi dan telah diberi penerangan mengenai proses repositori dan konservasi bahan oleh Ketua Unit Repositori, Konservasi dan Pelawat iaitu Encik Iznan Kasim, Penolong Kurator Muzium.
Pihak Muzium Pengurusan UUM mengucapkan terima kasih di atas lawatan tersebut.
Disediakan oleh: Muzium Pengurusan UUM
Gambar oleh: Muzium Pengurusan UUM