PSB Online- Bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos 2020, Jawatankuasa Pameran Kemerdekaan, Unit Khidmat Pelanggan, Bahagian Perkhidmatan Pengguna, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) tidak ketinggalan menyemarakkannya melalui Pameran Kemerdekaan yang berlangsung dari 16 Ogos hingga 30 September 2020. Pameran ini bertempat di ruang pameran Bangunan Baharu PSB.
Dengan bertemakan ‘Malaysia Prihatin-Kesan Penjajahan Ke atas Malaysia’ para pengunjung disajikan dengan informasi bergambar dan teks berkisar mengenai era penjajahan Tanah Melayu yang bermula daripada penjajahan oleh Portugis (1511-1641), Belanda (1641-1824), Inggeris (1824-1941) dan (1945-1957) dan Jepun, (1942-1945). Antara objektif pameran kemerdekaan kali ini ialah untuk membantu generasi kini memahami dan menghayati erti kemerdekaan serta menghargainya selain menerapkan nilai-nilai perjuangan dalam menuntut kemerdekaan daripada pihak penjajah ke dalam minda dan pemikiran mereka. Turut dipamerkan adalah replika Menara Berkembar Petronas sebagai tarikan utama pameran.
Selain dari pameran bergambar ini, PSB turut mengambil inisiatif dengan turut memuatnaik informasi-informasi serta grafik menarik mengenai kemerdekaan di laman sesawang rasmi PSB. Ianya telah dimuatnaik oleh Unit Laman Web/Pengalaman Pengguna PSB sebagai salah satu inisiatif dalam menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan di samping dapat menambah pengetahuan pengunjung laman sesawang. Informasi kemerdekaan ini boleh diakses melalui navigasi merdeka yang tersedia di laman sesawang tersebut.
Bagi menyemai dan memupuk semangat sayangkan negara serta menghargai nilai kemerdekaan negara, Jawatankuasa Pameran Kemerdekaan PSB turut menyediakan tayangan video dokumentari menarik mengenai sejarah penjajahan dan perjuangan kemerdekaan tanahair. Tayangan video-video dokumentari yang bertempat di ruang santai Bangunan Utama PSB ini diselang seli dengan lagu-lagu patriotik. Warna warni sambutan bulan kebangsaan ini disemarakkan lagi dengan hiasan bendera yang dikibarkan di sekitar bangunan PSB. Kibaran Jalur Gemilang ini mampu menghidupkan suasana sambutan bulan kebangsaan di PSB dan menambah roh kecintaan kita kepada negara.
Jawatankuasa Pameran Kemerdekaan PSB berharap agar pengisian program ini dapat menanam semangat cintakan negara dalam kalangan warga kampus sekali gus membuatkan mereka lebih menghargai kemerdekaan dan kemakmuran negara yang dikecapi kini.
Selamat Menyambut Hari Merdeka yang ke- 63! Dirgahayu Malaysiaku.
Disediakan dan gambar oleh : Azniza Binti Ahmad