![](https://library.uum.edu.my/wp-content/uploads/2020/06/19.jpg)
Sintok – Satu aktiviti gotong-royong susunan bahan yang tertangguh akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 Mac 2020 yang lalu telah diadakan bagi menyelesaikan masalah lambakan buku-buku yang tertangguh penyusunannya di ‘bay oren’ rak susunan koleksi umum dan juga bahan di rak ‘sorting’ di ruang pejabat Bahagian Sirkulasi Bangunan Tambahan Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) ke tempat yang sepatutnya.
Aktiviti ini telah dilaksanakan dari jam 9 pagi hingga 12.00 tengahari selama 3 hari berturut-turut dan ianya telah bermula pada 19 hingga 21 Mei 2020 yang lalu . Projek ini adalah melibatkan penyusunan bahan-bahan Koleksi Umum, Koleksi Khas, Koleksi Undang-Undang, Koleksi Rujukan dan juga Koleksi Siri. Sebelum gotong-royong susunan bermula, satu sesi taklimat ringkas telah diadakan di Aras Satu Bangunan Tambahan PSB dan telah disampaikan oleh Encik Abdul Hadi Hassan iaitu Ketua Unit Pengurusan Koleksi dari Bahagian Sumber Ilmu. Dalam taklimatnya, Encik Abdul Hadi mengingatkan semua staf terlibat supaya sentiasa menitik beratkan soal keselamatan dan kesihatan diri dengan menggunakan sarung tangan yang telah disediakan, memakai pelitup mulut dan hidung serta menggunakan pembersih tangan untuk tujuan menyahkuman dan mengelakkan sebarang jangkitan lain.
Ujarnya “Ini adalah kerana semua buku yang berada di atas rak berkemungkinan terdapat banyak habuk, fungus dan juga kencing tikus akibat telah lama tidak disentuh dan diselenggara oleh pengguna dan staf PSB dalam tempoh yang agak lama. Habuk dan fungus yang berterbangan boleh menyebabkan masalah kegatalan kulit dan mata. Jadi semua yang terlibat dalam pelaksanaan susunan ini diminta untuk sentiasa mengekalkan pemakaian pelitup mulut dan hidung serta sarung tangan untuk mengelakkan sebarang masalah kesihatan di masa akan datang”
Gotong royong susunan ini telah melibatkan semua staf di Unit Pengurusan Koleksi, Unit Perkhidmatan Pelanggan dan turut melibatkan penanggungjawab rak bagi staf unit lain yang merupakan empunya rak semasa di Bahagian Sirkulasi dan Perkhidmatan Pembaca. Tumpuan utama susunan adalah untuk menyelesaikan semua lambakan bahan Koleksi Umum dan Koleksi Khas yang tertangguh susunannya akibat PKP. Tambahan pula, ekoran daripada penstrukturan semula operasi perpustakaan yang melibatkan arahan pertukaran sebahagian besar staf bahagian Sirkulasi dan Perkhidmatan Pembaca yang menjadi penanggunjawab rak berkenaan. Hasil penstrukturan ini, tanggungjawab aktiviti susunan bahan adalah berada di bawah selian Bahagian Sumber Ilmu.
Aktiviti ini telah mendapat sokongan dan komitmen semua staf terlibat dan berjaya menyelesaikan kesemua bahan susunan yang tertangguh ini mengikut tempoh yang ditetapkan dengan jayanya. Ketua Bahagian Sumber Ilmu, Puan Rahimah Ishak mengucapkan ribuan terima kasih atas kerjsama yang diberikan dan berharap momentum kerja berpasukan seumpama ini dapat dikekalkan di masa hadapan.
Disediakan oleh : Azniza Ahmad
Gambar : Abdul Hadi Taib