PENGUMPULAN DAN PENJUALAN BARANGAN TERPAKAI UNTUK KITAR SEMULA MEMBUKA TIRAI AKTIVITI WARGA PSB 2022

PSB Online –  Jawatankuasa  5S Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) dengan kerjasama Badan Kebajikan dan Amal Kakitangan Perpustakaan (BAKAL), PSB telah melaksanakan Kempen Barangan Terpakai kepada semua warga PSB bermula dari bulan September sehingga Disember 2021. Tujuan kempen ini dilaksanakan adalah untuk memupuk kesedaran mengenai kepentingan mengitar semula barangan terpakai dan juga sebagai komitmen PSB mendukung agenda dan inisiatif Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Universiti. Kempen ini juga  sebagai alternatif  untuk membantu dan  memudahkan warga PSB menghantar barangan untuk dikitar semula  tanpa perlu mencari pusat kitar semula  bagi tujuan pelupusan.

Aktiviti pengumpulan barangan terpakai ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan di kalangan staf PSB. Untuk memastikan kempen ini berjalan dengan lancar dan memudahkan warga PSB untuk mengumpul barangan terpakai mereka,  sudut laluan ke Loading Bay paras 1 Bangunan Utama PSB telah dijadikan tempat pengumpulan barangan sementara. Manakala untuk memudahkan proses jualan pula, para peserta disarankan melabel nama pada barangan masing – masing untuk tujuan rekod  jumlah barangan jualan dan pembayaran.

Pada 03 Januari 2022, PSB telah membuka tirai aktiviti tahun baharu dengan kerjasama bersama pihak Environment Idaman Sdn Bhd Kubang Pasu  (E-Idaman). Kerjasama ini telah melibatkan aktiviti penjualan barangan kitar semula  yang bertempat di Loading Bay di luar bangunan PSB. Aktiviti jualan ini telah bermula pada pukul 10.45 pagi yang dimulai dengan timbangan semua bahan yang berasaskan kertas seperti  kertas  terpakai  A4, suratkhabar, buku lama, buku tulis, kotak dan seterusnya  jualan bahan plastik,  bahan aluminium,  bahan besi dan diakhiri dengan jualan minyak masak terpakai.

Aktiviti jualan ini telah berakhir pada pukul 12.30 tengahari dan semua staf yang terlibat berterima kasih  dengan  usaha yang dijalankan oleh Jawatankuasa 5S PSB . Pihak Jawatankuasa 5S mengucapkan ribuan terima kasih kepada staf  yang menyumbang hasil jualan kepada tabung BAKAL dan juga kepada staf yang aktif memberi kerjasama, bantuan dan sokongan bagi  menjayakan kempen ini.

 

Disediakan oleh : Azniza Binti  Ahmad

Gambar :  Azniza Binti Ahmad