PERKONGSIAN PENGALAMAN PROGRAM SANGKUTAN OLEH EN. KHAIRUL ASYRANI SULAIMAN DARIPADA PERPUSTAKAAN TUANKU BAINUN, UPSI

Bermula 16 Julai sehingga 28 Julai 2017, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB), amat berbesar hati dengan kehadiran seorang warga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sempena program sangkutan di sini.

Warga UPSI yang dimaksudkan adalah En. Khairul Asyrani Sulaiman, seorang Pegawai Teknologi Maklumat Kanan (F44) dan berkhidmat di bawah jabatan Perpustakaan Tuanku Bainun, UPSI. Selain memilih PSB sebagai institusi penanda aras, kehadiran beliau ke sini juga adalah bertujuan untuk melaksanakan projek bersama Pusat Sitasi Malaysia (PSM) dan Perpustakaan Tuanku Bainun.

Sepanjang tempoh program ini berlangsung, beliau ditempatkan di bawah Jabatan Automasi di bawah seliaan En. Salleh Hudin Mustafa, Ketua Pustakawan, PSB sendiri. Menurut beliau, antara aspek utama dalam penandaarasan adalah terhadap kepelbagaian aspek pengautomasian, sistem dan teknologi yang digunapakai di PSB. Selain itu, beliau juga ingin mendalami dan menghalusi proses kerja Jabatan Automasi di PSB secara keseluruhannya.

Sebagai nilai penting bagi PSB untuk terus maju, berikut adalah sedikit catatan beliau berhubung dapatan dan pengalamannya sepanjang berada di PSB;

                 “Banyak aspek pengurusan Jabatan Automasi terutamanya melibatkan aspek pengurusan laporan dan statistik adalah berbeza berbanding di Perpustakaan Tuanku Bainun namun ada titik persamaan yang normal mengenai jenis laporan yang dilaporkan. Pengalaman teknikal dan fungsi di dalam aspek penggunaan sistem Sierra juga diperolehi. Data-data temubual dan pengalaman yang diperolehi akan digunakan oleh Perpustakaan Tuanku Bainun untuk menilai kemungkinan pemasangan sebarang sistem ILS (Integrated Library System) baharu di masa akan datang.

                 Pengurusan aduan dan lain-lain aspek adalah berasaskan borang. Demo sistem Vital telah dijalankan bersama-sama staf Jabatan Automasi pada Ahad, 23 Julai 2017 dan mereka dijangka menggunapakai sistem tersebut. Vital adalah sistem yang dibangunkan secara dalaman oleh Bahagian Sistem dan Pembangunan Aplikasi, Perpustakaan Tuanku Bainun yang digunakan untuk proses rekod aduan kerosakan peralatan ICT, tempahan prasarana/toner dan juga peminjaman peralatan ICT. Demo sistem Pustaka VRS telah diadakan pada Isnin 24 Julai 2017 melibatkan pegawai daripada Bahagian Perolehan. Sistem Pustaka VRS ini adalah sistem penilaian pembekal yang turut dibangunkan secara dalaman oleh Perpustakaan Tuanku Bainun. Sesi demo juga telah diisikan dengan sesi panduan penggunaan. Kedua-dua sistem tersebut telah dipasangkan ke PC yang bertindak sebagai server di alamat IP 10.24.4.36 dan difahamkan akan dikendalikan sepenuhnya oleh En. Shazwan (Ketua Bahagian Operasi dan Aplikasi Komputer, PSB) sejurus program sangkutan saya tamat dan akan dipindahkan ke bilik Server serta diberikan IP yang baharu.

                 Keseluruhannya, banyak pengalaman berguna saya perolehi di PSB UUM terutamanya dari aspek pengurusan Jabatan Automasi dan juga penggunaan teknologi-teknologi perpustakaan yang dibawa ke PSB UUM. Pengalaman ini berguna untuk saya aplikasikan ke Perpustakaan Tuanku Bainun kelak selain daripada proses perpindahan kepakaran/teknologi yang disempurnakan oleh saya untuk PSB UUM dalam bentuk sistem Vital dan Pustaka VRS.”

Sememangnya, kehadiran En. Khairul Asyrani ke PSB merupakan satu langkah yang positif buat kedua-dua institusi dalam memantapkan lagi servis dan perkhidmatan masing-masing. Semoga, usahasama seumpama ini dapat diteruskan lagi di masa akan datang.

Disediakan oleh: Noraini Alias

Gambar oleh: Mohamad Fuzi Ismail & Samsuhaimi Ghazali