Bersempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke 58, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah menganjurkan pertandingan mewarna pada 15 September 2015 untuk murid-murid pra-sekolah daripada beberapa tadika yang berdekatan dengan Universiti Utara Malaysia (UUM). Pertandingan tersebut telah dimeriahkan dengan penyertaan seramai 50 orang murid pra sekolah dari Tadika Ikhtiar Pintar, Tadika KEMAS Taman Universiti, Tadika KEMAS Tanjung Genting, Tadika Intan Syafinaz dan diiringi oleh beberapa orang guru serta anak-anak kakitangan UUM.
Pertandingan mewarna ini bertujuan untuk melahirkan bakat-bakat seni mewarna serta meningkatkan daya kreativiti di kalangan kanak-kanak ini. Bagi mencapai hasil yang baik, teknik yang betul harus dipraktikkan oleh mereka yang menyertai pertandingan ini. Oleh itu peranan guru-guru pengiring serta pihak urusetia turut terlibat membantu para peserta dengan memberi tunjuk ajar serba sedikit mengenai teknik mewarna yang betul. Malah pertandingan seperti ini juga dapat menambah ilmu pengetahuan dan mengeratkan silaturrahim di kalangan murid dan guru.
Pertandingan ini telah berlangsung selama satu jam dan hadiah kepada para pemenang merupakan sumbangan daripada pihak PSB sendiri. Tahniah kepada semua pemenang.
Akhir kata aktiviti seperti ini perlu diadakan setiap tahun agar jati diri setiap warga negara Malaysia sentiasa terukir dalam jiwa serta dapat memupuk semangat cintakan tanahair terutamanya kanak-kanak yang bakal menjadi pemimpin pada masa akan datang. Bukan sahaja mereka dapat merasakan kemeriahan sambutan kemerdekaan tetapi juga memberi peluang untuk pihak PSB berinteraksi dan mendekatkan diri dengan masyarakat setempat dan komuniti sekitar kampus.
Disediakan oleh: Norashikin Bt Ibrahim | Gambar oleh: Mohd Affrizi B Ismail