PERTANDINGAN MEWARNA CETUS KREATIVITI KANAK-KANAK PRA-SEKOLAH

Bersempena sambutan Pesta Buku Utara Discover UUM 2016 yang berlangsung pada 20 hingga 27 Mac 2016, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah menganjurkan pertandingan mewarna untuk murid-murid pra-sekolah di Sudut Kanak-kanak PSB. Peserta adalah terdiri daripada murid-murid Pra-Sekolah, Sekolah Rendah Kebangsaan Bandar Baharu Sintok serta anak-anak kakitangan UUM.

Pertandingan mewarna ini bertujuan untuk melahirkan bakat-bakat seni mewarna serta meningkatkan daya kreativiti di kalangan kanak-kanak ini. Bagi mencapai hasil yang baik, teknik yang betul harus dipraktikkan oleh mereka yang menyertai pertandingan ini. Oleh itu peranan guru-guru pengiring serta pihak urusetia turut terlibat membantu para peserta dengan memberi tunjuk ajar serba sedikit mengenai teknik mewarna yang betul. Malah pertandingan seperti ini juga dapat menambah ilmu pengetahuan dan mengeratkan silaturrahim di kalangan murid dan guru.

Penglibatan kanak-kanak ini ini bukan sahaja menceriakan suasana tetapi juga memberi peluang untuk pihak PSB berinteraksi dan mendekatkan diri dengan masyarakat setempat dan komuniti sekitar kampus.

Pertandingan ini telah berlangsung selama 1 jam dan hadiah kepada para pemenang merupakan sumbangan daripada pihak PSB sendiri. Tahniah kepada semua peserta dan pemenang, syabas dan terima kasih kepada penganjur program tersebut.

Disediakan oleh   : Norashikin Bt Ibrahim
Gambar oleh       : Mohamad Fuzi B Ismail