PSB Online – Program Kolaborasi antara Jawatankuasa 5S bersama pelajar Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia (UUMCOB) telah berjaya dilaksanakan pada 21 Jun 2022 yang lalu.
Kejayaan penganjuran Program Kesedaran Amalan Kitar Semula di Kalangan Komuniti UUM” ini adalah sebahagian daripada tuntutan subjek kursus “Isu-Isu Semasa dalam Ekonomi” dengan kod kursus BEES3053(G). Program ini telah diterajui oleh sekumpulan tujuh orang pelajar perempuan yang dikenali sebagai Kumpulan Aurora. Mereka memilih untuk mengetengahkan topik mengenai kepentingan amalan kitar semula dengan kerjasama Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) dan Syarikat E-Idaman Sdn. Bhd.
Antara pengisian program ini adalah Aktiviti Treasure Hunt yang bermula pada pukul 9.00 pagi di mana peserta daripada empat buah kumpulan dikehendaki menyelesaikan tugasan-tugasan tertentu di setiap checkpoint yang dijaga oleh kakitangan PSB. Di checkpoint terakhir, peserta juga turut ditugaskan menghasilkan rekacipta dan inovasi dengan hanya menggunakan bahan-bahan terpakai yang dibekalkan seperti botol plastik, kotak kertas, surat khabar dan lain-lain lagi dan tugasan ini juga dijuri oleh kakitangan PSB yang terdiri daripada ahli jawatankuasa 5S.
Pada jam 11.00 pagi, satu Ceramah Kesedaran Kepentingan Amalan Kitar Semula turut diadakan bertempat di Auditorium 1, Bangunan Utama, PSB. Penceramah jemputan adalah En. Muhamad Mukhrizani Bin Mahmud dari Unit Komunikasi Korporat E-Idaman Sdn. Bhd. Turut hadir ke ceramah ini adalah Pengerusi Jawatankuasa 5S iaitu Pn. Rahimah Ishak. Seusai sesi ceramah, satu upacara penyampaian hadiah kepada pemenang aktiviti Treasure Hunt juga telah disempurnakan oleh Pn. Rahimah. Tahniah diucapkan kepada pemenang pertandingan kerana berjaya mengumpul mata tertinggi dan bergelar juara.
Semoga aktiviti kolaborasi bersama pelajar ini dapat diperbanyakkan lagi di masa akan datang dan dilaksanakan dengan lebih meluas seterusnya dapat meningkatkan keterlihatan perpustakaan di kalangan pelajar dan komuniti UUM.
Disediakan oleh: Noraini Alias
Gambar oleh: Urusetia program