PSB Online – University Social Responsibilities (USR) adalah merupakan model tanggungjawab sosial di mana universiti menggunakan keupayaan dan komitmen mereka untuk menggalakkan pelajar, dan kakitangan kampus menyediakan perkhidmatan sosial kepada komuniti setempat mereka.
Justeru itu, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyahut seruan ini dengan menganjurkan satu program yang bertujuan untuk mewujudkan rasa kesedaran serta tanggungjawab sosial dalam kalangan staf PSB untuk membantu masyarakat secara sukarela selain membantu membina imej PSB dan UUM yang dinamik dan prihatin serta meraikan dan memberi sumbangan kepada komuniti sasaran. Menerusi Bahagian Arkib Universiti, Perpustakaan Sultanah Bahiyah, satu program USR “Enjoy Your English!” telah diadakan bersama anak-anak yatim dan miskin di Kompleks Asrama Anak Yatim & Miskin Baitul Ehsan, Kampung Perik, Kedah.
Seramai lebih kurang 20 anak-anak yatim ini telah disantuni melalui kelas Bahasa Inggeris dan pengisian sampingan seperti Interactive Fun games dan sesi motivasi bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kebersihan dan minat membaca di kalangan mereka. Melalui kelas Bahasa Inggeris, anak-anak ini telah diberi pendedahan dan pemahaman mengenai Bahasa Inggeris secara asas selama 1 jam. Program ini juga turut berkolaborasi bersama 4 orang Guru Bahasa dari Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), UUM.
Menurut Ketua projek, iaitu Pn. Hasma Harun yang juga merupakan Ketua Bahagian Arkib Universiti (BAU), dengan pelaksanaan program ini, universiti akan dapat menjalinkan hubungan kerjasama yang kuat, saling belajar, dan seterusnya dapat memperluaskan jaringan rangkaian social. Selain itu, ia juga dapat memperkukuhkan impak yang positif kepada universiti dalam mencapai tujuan USR. Bukan itu sahaja, ianya juga dapat meningkatkan reputasi UUM sebagai institusi pendidikan yang mengambil berat terhadap isu-isu keperluan masyarakat setempat dan dapat menyumbang kepada perubahan positif dalam kalangan kumpulan sasaran. Hal ini dapat meningkatkan daya tarikan masyarakat untuk berkolaborasi dengan UUM dalam pelbagai aspek bagi memajukan golongan berkenaan.
Seramai 9 orang staf BAU telah terlibat sebagai urusetia program. Mereka adalah tulang belakang yang melancarkan program yang sarat dengan aktiviti berilmiah serta menarik perhatian anak-anak Kompleks Asrama Anak Yatim & Miskin Baitul Ehsan ini.
Program ini telah bermula pada jam 9.00 pagi dan telah berakhir pada jam 5.00 petang. Semoga Program “Enjoy Your English” ini dapat mencapai objektif USR dan seterusnya menyumbang kepada agenda negara untuk melahirkan masyarakat yang berilmu pengetahuan melalui aktiviti-aktiviti literasi maklumat dan aktiviti bermanfaat yang lain.
Disediakan oleh: Noraini Binti Alias
Gambar oleh: Syed Muhammad Amirul Asyraf Bin Syed Ismail