PSB KOMITED LAKSANAKAN PROGRAM MATLAMAT PEMBANGUNAN MAMPAN (SDG) DENGAN LAWATAN KALI KE-4

PSB Online: 20 Disember lalu, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB), Universiti Utara Malaysia (UUM) komited meneruskan Program Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) bersama Sekolah Kebangsaan Seri Perdana, Alor Setar.

Lawatan ini merupakan lawatan kali ke-4 yang memberi fokus kepada sesi latihan pengendalian sistem Pusat Sumber, sesi latihan asas Microsoft Office oleh pelajar UUM dan menyambung kerja-kerja menambahkan keceriaan Pusat Sumber SK Seri Perdana.

Pada lawatan kali ini, sesi latihan pengendalian sistem Pusat Sumber dan sesi latihan asas Microsoft Office diadakan di Makmal Komputer Sekolah Kebangsaan Seri Perdana, Alor Setar.

Untuk makluman, kali ini PSB turut berkolaborasi bersama pelajar-pelajar dari Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), UUM. Selain untuk melengkapkan laporan subjek kursus BPMN 3103- Seminar Pemikiran Pengurusan, mereka juga teruja berkongsi ilmu bersama murid-murid di SK Seri Perdana.

Seramai tiga orang pelajar UUM telah mengendalikan sesi latihan asas Microsoft Office kepada pelajar SK Seri Perdana.

Manakala, pada masa yang sama, kerja-kerja menambahkan keceriaan Pusat Sumber SK Seri Perdana seperti mengecat ruang tertentu dan menyusun atur perabot dan bakul yang diisi buku-buku dilakukan oleh sebilangan staf PSB.

Turut serta, Cik Hanie Azyyati Abdul Jamil, selaku Penolong Ketua Pustakawan PSB UUM, Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Maklumat Ilmiah (BPKMI) telah mengetuai rombongan seramai 9 orang staf PSB UUM.

 

Disediakan oleh: Zarith Sofea Zaharin

Gambar oleh: Sukarelawan SDG PSB