PSB Online – Menurut Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Tan Sri Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkaitan perkembangan terkini penularan wabak COVID-19 di Malaysia, beliau memaklumkan bahawa kes Covid-19 di negara ini semakin meningkat secara mendadak sejak kebelakangan ini. Ini adalah berikutan kebenaran pergerakan rentas daerah dan negeri di seluruh negara. Walau bagaimanapun, larangan ini mula dikuatkuasakan semula sejak 10 Mei 2021 berikutan keadaan pandemik yang semakin meruncing.
Ekoran daripada peningkatan jumlah kes tersebut, satu proses pembersihan, sanitasi dan disinfeksi covid-19 secara menyeluruh di Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah diadakan pada 17 dan 19 Mei 2021 yang lalu bagi mengekang penularan wabak tersebut. Langkah ini diambil adalah sebagai tindakan proaktif PSB untuk memastikan warganya berasa selamat dan terjamin sewaktu melaksanakan tugasan mereka di tempat kerja.
Menurut World Health Organization (WHO), penularan utama penyakit ini di kalangan individu berlaku melalui titisan cecair yang datang dari pernafasan dan sentuhan. Penularan ini boleh berlaku secara langsung atau tidak langsung apabila berkongsi ruang yang sama, atau melalui permukaan atau objek yang disentuh atau digunakan oleh individu yang telah dijangkiti. Kajian mencadangkan bahawa virus ini mungkin boleh melekat pada objek atau permukaan dan kekal aktif selama beberapa jam atau sehingga beberapa hari kerana dilindungi oleh mukus. Jangka hayat virus ini adalah berbeza bergantung kepada suhu, kelembapan persekitaran dan jenis permukaan. Oleh itu, proses pembersihan, sanitasi dan disinfeksi merupakan antara kaedah yang paling berkesan untuk mengurangkan risiko penyebaran COVID-19 melalui permukaan yang disentuh.
Berpandukan tunjuk ajar daripada Pusat Kesihatan Universiti (PKUUUM), proses ini telah dilaksanakan merangkumi hampir keseluruhan ruangan di PSB yang meliputi ruangan umum pengguna dan juga ruangan pejabat di Bangunan Utama serta Tambahan PSB. Memandangkan operasi PSB telah ditutup kepada semua pengguna pada 12 Mei yang lalu, proses pembersihan, sanitasi dan disinfeksi tersebut dapat dilakukan dengan lancar,.
Pihak PSB amat mendokong tinggi usaha kerajaan dalam merealisasikan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Malaysia agar dapat membendung pandemik ini. Program ini telah bermula sejak 24 Februari 2021 yang lalu setelah kerajaan berjaya mengakses bekalan vaksin COVID-19 daripada beberapa buah syarikat farmaseutikal. Program ini juga dijangka dijalankan secara berfasa hingga bulan Februari 2022 bagi mencapai keimunan kelompok dalam kalangan rakyat sebagai usaha menangani penularan COVID-19 di dalam negara.
Semoga rakyat Malaysia dapat mengharungi ujian berat ini dan kepada semua warga PSB adalah diharap untuk menjaga diri dan sentiasa mematuhi amalan pencegahan wabak Covid-19 ini.
Disediakan oleh: Noraini Alias
Gambar oleh: Bahagian Khidmat Pengurusan