PSB Online – Kumpulan peserta dari Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah berjaya meraih gelaran Naib Johan Pertandingan Memasak Bubur Asyura anjuran Pusat Islam, Universiti Utara Malaysia (UUM) tempoh hari.
Bubur Asyura merupakan hidangan yang dihidangkan oleh umat Islam sewaktu di bulan Muharram. Di kesempatan ini, pada 20 Muharram 1444H bersamaan 18 Ogos 2022 yang lalu, telah diadakan Pertandingan Memasak Bubur Asyura bertempat di Pusat Islam dan terbuka kepada Pusat Tanggungjawab (PTJ) di UUM.
Sebanyak 4 buah PTJ menyertai pertandingan ini yang terdiri daripada Jabatan PSB, Canselori, Pembangunan dan Penyelenggaraan (JPP) dan UUMIT. Setiap PTJ mempunyai 6 orang wakil dan kesemua peserta telah bersedia seawal jam 8.30 pagi di ruang memasak Pusat Islam. Secara asasnya, bubur asyura terdiri daripada beras, tepung, kacang dan sayur-sayuran seperti ubi keledek, jagung, pisang dan lain-lain. Kesemua bahan perlu dibawa oleh peserta dan mereka perlu memasak bubur asyura dalam tempoh 3 jam.
Sebelum pertandingan bermula, sesi taklimat ringkas mengenai syarat-syarat pertandingan telah diberi oleh urusetia. Pertandingan ini diadili oleh 3 orang juri professional dan markah diberi adalah berdasarkan kriteria pemarkahan dari segi rasa, dekorasi, kekemasan, kebersihan dan kerjasama.
Johan Pertandingan Memasak Bubur Asyura tahun ini jatuh kepada Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan (JPP), manakala tempat ketiga pula adalah Jabatan Canselori. Pemenang membawa pulang hadiah berupa wang tunai beserta sijil penghargaan.
Disediakan oleh: Noraini Alias
Gambar oleh: Peserta program