PSB SEKALI LAGI MENYAKSIKAN SAAT DUA STAFNYA MENGETIK KAD PERAKAM WAKTU BUAT KALI TERAKHIR

PSB Online  –  Umpama belayar telah sampai di pelabuhan, umpama berdayung telah sampai di muara dan umpama berjalan telah sampai ke destinasi”. Perumpaan ini amat sinonim mengambarkan setiap pertemuan pasti adanya perpisahan. Tanggal pada 30 Ogos 2022 , kakitangan Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) sekali lagi berkumpul di hadapan perakam waktu di Bangunan Utama untuk mengucapkan salam perpisahan dan juga meraikan detik dua rakan sekerja mereka mengetik kad perakam waktu buat kali terakhir sebagai seorang penjawat awam di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Dua orang kakitangan yang dimaksudkan itu ialah Encik Che Hasan Hashim, Pembantu Pustakawan Kanan dari Unit Perkhidmatan Pelanggan Bahagian Perkhidmatan Pengguna yang tamat tempoh perkhidmatan dan akan bersara wajib dari dunia kepustakawanan. Sementara itu Puan Noor Madiah Ahmad pula merupakan seorang Pembantu Tadbir Kanan (P/O) dari Unit Pembangunan Sumber Ilmu Bahagian Sumber Ilmu telah memilih untuk bersara pilihan dari perkhidmatan awam untuk memberi tumpuan kepada bidang pertanian yang diminatinya.

Encik Che Hasan dan Puan Noor Madiah merupakan senior atau orang lama sejak dari penubuhan Kampus Sementara UUM Bandar Darul Aman lagi. Mereka adalah antara kalangan staf terawal melapor diri untuk memulakan kerjaya dengan UUM. Dengan tempoh perkhidmatan melebihi 30 tahun, mereka berdua adalah staf yang berkemahiran dan memiliki pengalaman kerja yang penuh warna warni yang dilaksanakan dengan tabah, jujur dan dedikasi. Pasti juga dalam tempoh itu banyak pahit getir, sumbangan bakti dan jasa  yang dicurah  untuk melaksana  amanah kerja demi memajukan perkhidmatan PSB.

Sempena meraikan hari terakhir mereka yang berjasa ini turut hadir ialah Tuan Ketua Pustakawan, Tuan Haji Salleh Hudin Mustaffa  dan Puan Rahimah Ishak, Penolong Ketua Pustakawan Bahagian Sumber Ilmu. Mereka memberi sokongan dengan turun lebih awal dari pejabat mereka dan menyertai staf yang lain untuk menyaksikan detik ini. Mewakili semua warga PSB, Encik Salleh Hudin mengucapkan terima kasih atas segala sumbangan yang telah diberikan selama  ini dan segala nasihat yang ditinggalkan akan dijadikan pedoman di kemudian hari.

Sesungguhnya persaraan mengingatkan kita bahawa setiap pertemuan pasti ada perpisahan dan setiap permulaan pasti ada penamatnya. Persaraan dari alam pekerjaan setelah lebih 30 tahun berkhidmat menunjukkan realiti bahawa kita telah banyak menyumbang bakti dan menabur budi dalam kejayaan kampus ini melahirkan graduan yang berjaya sehingga ke peringkat global. Sesungguhnya sepanjang tempoh itu, terukir banyak kenangan manis dan lakaran silam di sepanjang perkhidmatan.

Buah mengkudu buah bidara

Mari disimpan di dalam dulang

Hari ini tuan genap bersara

Jasa baik tuan tetap kami kenang

Selamat bersara Che Hasan dan Noor Madiah dari kami warga pustaka.

 

 

Disediakan oleh : Azniza Binti  Ahmad

Gambar :  Abdul Hadi Mat Taib