PSB TERIMA ANUGERAH JOHAN PERTANDINGAN AMALAN PERSEKITARAN BERKUALITI DI MAJLIS HIMPU 2021

PSB Online – Universiti Utara Malaysia (UUM) hari ini, 18 Mac 2021 telah meraikan 236 orang penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2020 yang julung kali diadakan secara langsung melalui saluran Facebook (FB) UUM dari Aras 2 Bangunan Tambahan Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB). Penganugerahan ini diadakan bersempena Hari Inovasi dan Majlis Penganugerahan Universiti (HIMPU) 2021. Majlis ini telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia  Tan Sri Datuk Wira Dr. Hj. Mohd Shukor Hj. Mahfar, Pengerusi Lembaga Pengarah UUM (LPU).

Majlis yang padat dan ringkas ini  juga meraikan pemenang bagi pertandingan amalan persekitaran berkualiti yang telah memasuki tahun ke-19 pada tahun 2020. Pertandingan ini melibatkan semua  Pusat Tanggungjawab di UUM dan dibahagikan kepada  3 kategori iaitu Jabatan A, Jabatan B dan Pusat Pengajian. Johan bagi Jabatan A telah dimenangi oleh Perpustakaan Sultanah Bahiyah, sementara Pusat Islam menjuarai bagi Jabatan B. Juara bagi Pusat Pengajian dan juga Johan keseluruhan telah dibolot oleh Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB). Menerima anugerah ini, PSB telah membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak  RM1,500 beserta sijil.

Selain itu juga, seramai 9 orang staf PSB juga turut tersenarai sebagai penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC). Kesemua mereka menerima sijil dan juga wang tunai berjumlah RM1000. Secara umumnya, majlis HIMPU ini diadakan bagi meraikan staf yang berprestasi kerja cemerlang dengan memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada mereka. Pada majlis ini juga seramai 10 orang staf telah dipilih untuk menerima Anugerah Penjawat Cemerlang di mana pemilihan dibuat dari kalangan staf yang menjawat jawatan pentadbiran berdasarkan markah prestasi tahunan dan pencapaian KPI pelan strategik jabatan masing-masing.  Seperti  tahun terdahulu, turut disampaikan Insentif Kecemerlangan Akademik, Anugerah Penyelidikan, Penerbitan, Pengajaran, Pembelajaran, Inovasi dan Kualiti (APIQ 2020)  yang mana melibatkan 16 jenis anugerah bagi kategori penyelidikan, penerbitan, pengajaran, pembelajaran, inovasi dan kualiti.

Majlis yang bermula pada pukul 10.30 pagi ini telah berakhir pada pukul 11.45 pagi. Tahniah dan syabas kepada semua penerima  anugerah tahun 2020. Semoga  komitmen dan dedikasi yang ditunjukkan oleh para penerima anugerah menjadi contoh dan obor penyuntik semangat dan motivasi kepada semua warga universiti yang lain.

 

Disediakan oleh : Azniza Binti  Ahmad

Gambar :  Abdul Hadi Mat Taib