PSB Online – Pada 02 Mei 2021, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah menerima lawatan penandaarasan dari 2 orang wakil daripada Kolej Vokasional Alor Setar (KVAS), Alor Setar Kedah . Tujuan lawatan ini adalah sebagai persediaan KVAS untuk menghadapi penilaian akreditasi secara atas talian (virtual audit) dari Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT). MBOT (Malaysian Board of Technologist) adalah satu badan yang mengiktiraf mereka yang mempunyai kemahiran teknologi sebagai Professional Technologist (Ts.) dan Certified Technician (Tc.).
Lawatan yang bermula pada pukul 9.00 pagi ini telah disambut oleh Cik Hanie Azyyati Abdul Jamil, Penolong Ketua Pustakawan dan Puan Wan Hanis Kamarruddin, Pustakawan dari Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Maklumat Ilmiah di Foyer PSB. Seterusnya pelawat telah dibawa ke Academic Common, Bangunan Tambahan PSB untuk sesi perkongsian ilmu , maklumat dan pengalaman audit secara atas talian.
PSB menjadi tempat rujukan untuk menimba pengalaman audit antara lain kerana PSB sudah beberapa kali menjadi auditee kepada lawatan penilaian audit secara atas talian. Sementara bagi KVAS pula, ini adalah pengalaman pertama mereka membuat persediaan untuk menghadapi audit seumpama ini.
Memenuhi hasrat tetamu, Cik Hanie telah berkongsi beberapa maklumat dan tips pengalaman menghadapi audit atas talian dengan berkongsi maklumat seperti garis panduan audit secara atas talian, nota panduan live streaming bagi remote assessment dan lain-lain. Menurut Cik Hanie “bagi menghadapi audit atas talian yang berjalan lancar, selain dari peralatan yang lengkap, sokongan liputan dan kelajuan internet memainkan peranan sangat penting. Liputan internet yang kerap terputus akan mengganggu mood auditor dan auditee ketika sesi audit sedang bersiaran langsung.”
Sesi lawatan ini telah berakhir pada pukul 11.00 pagi dengan wakil pelawat menandatangani buku pelawat PSB dan serahan cenderahati sebagai kenang-kenangan. Diharap sesi perkongsian pengalaman ini dapat membantu KVAS membuat persiapan yang terbaik untuk audit secara maya nanti.
Disediakan oleh : Azniza Ahmad
Gambar : Wan Hanis Kamarruddin