STAF BERSARA: ENCIK ABDUL HADI BIN HASSAN

PSB ONLINE: 29 Ogos 2024 – PSB telah meraikan persaraan En. Abdul Hadi Bin Hassan, Pembantu Pustakawan Kanan, yang bersara wajib pada 1 Oktober 2024.  Beliau telah menabur bakti berkhidmat dengan penuh dedikasi di Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) selama 31 tahun, iaitu sejak 20 September 1993.

Dalam tempoh 3 dekad, berkhidmat di PSB, UUM, beliau telah memperolehi banyak pengalaman dengan bertugas di beberapa bahagian sepanjang tempoh perkhidmatannya.  Beliau memulakan tugas di Bahagian Media, sebelum berpindah ke Bahagian Sirkulasi dan Perkhidmatan Pembaca. Seterusnya, beliau berkhidmat di Bahagian Siri, dan kemudiannya di Bahagian Sumber Ilmu. Pada tahun 2009, PSB membentuk satu unit, iaitu Unit Arkib diketuai oleh Pustakawan, Puan Hasma Binti Haji Harun yang mana En. Abdul Hadi telah dipilih sebagai kumpulan pertama bersama seorang lagi Pembantu Pustakawan, Puan Sarkina Saari@Saad yang terlibat dalam usaha memperolehi bahan-bahan arkib UUM yang berada di banyak jabatan dan pusat-pusat pengajian. Beliau telah terlibat secara langsung dalam kerja-kerja mengurus dan mentadbir serta memelihara dan memulihara bahan-bahan arkib UUM. Usaha memelihara bahan-bahan arkib UUM berterusan sehingga kini diberi  tanggungjawab kepada Bahagian Arkib Universiti dan Muzium Pengurusan.

Dalam usaha menyumbang kepada perkembangan dan kemajuan institusi UUM, beliau telah dipinjamkan ke Bahagian Muzium selama enam bulan bagi membantu penubuhan awal Muzium Pengurusan UUM. Selepas itu, beliau terus berkhidmat di Bahagian Sumber Ilmu, di mana beliau dilantik sebagai Ketua Unit Pengurusan Koleksi yang bertanggungjawab dalam penyusunan dan pemeliharaan bahan rujukan akademik. Karier beliau berakhir di Bahagian Rujukan dan Perkhidmatan Maklumat, di mana beliau berperanan dalam menawarkan perkhidmatan maklumat iaitu membantu pengguna perpustakan merangkumi para pelajar dan pensyarah serta para penyelidik dalam mendapatkan sumber ilmiah yang berkualiti dan menepati keperluan maklumat mereka.

Sepanjang perkhidmatannya, Abdul Hadi bin Hassan telah menerima beberapa penghargaan atas kecemerlangan dan komitmennya. Beliau dianugerahkan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sebanyak tiga kali, iaitu pada tahun 1998, 2007, dan 2015. Selain itu, sebagai tanda pengiktirafan terhadap kesetiaan dan sumbangannya kepada universiti, beliau telah dianugerahkan Pingat Perkhidmatan Setia (P.P.S) UUM pada tahun 2024.

Dari segi kehidupan peribadi, beliau merupakan suami kepada Salmah binti Halim @ Saad, yang berkhidmat sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Dato’ Wan Kemara. Hasil perkahwinan ini, mereka dikurniakan tiga orang anak lelaki, iaitu Muhammad Faris bin Abdul Hadi, Muhammad Firdaus bin Abdul Hadi, dan Muhammad Farhan bin Abdul Hadi.

Dengan pengalaman luas serta dedikasi yang tinggi dalam bidang pengurusan perpustakaan dan pengurusan sumber-sumber ilmu, En. Abdul Hadi bin Hassan telah memberikan sumbangan bermakna kepada Universiti Utara Malaysia umumnya dan kepada Perpustakaan Sultanah Bahiyah khasnya, menjadikannya beliau seorang individu yang dihormati dan dihargai oelh PSB dan UUM.

Semoga persaraan beliau memberi lebih kebahagian dan ketenangan kepada beliau serta dapat memberi sumbangan kebajikan dan tenaga kepada seluruh keluarga beliau serta komuniti setempat beliau dan sesiapa sahaj yang memerlukan bantuan.

“Selamat Maju Jaya En. Abdul Hadi bin Hassan”.

Disediakan oleh: Hasma Binti Haji Harun
Gambar oleh: Syed Muhammad Amirul Ashraf bin Syed Ismail