STAF MUZIUM BERPESTA SELUT DAN LANYAU

PSB Online [Berita Muzium] – Satu penggambaran khas melibatkan semua staf Muzium UUM telah diadakan pada 31 Mac 2021 bagi memenuhi keperluan pameran semasa berkenaan peralatan menangkap ikan secara tradisional yang bakal dipamerkan nanti di Muzium Pengurusan UUM.

Penggambaraan ini telah dirakam di Kampung Kunluang, Asun, Kedah yang meliputi gambar dan video mengenai kaedah penggunaan beberapa peralatan menangkap ikan seperti, serkap, jala, tangkul, sempila, bubu dan beberapa peralatan lagi.

Bagi menjayakan sesi rakaman penggambaran ini, pihak Muzium Pengurusan UUM terlebih dahulu  telah mendapat kerjasama penuh dari pemilik lokasi penggambaran iaitu ACP(B) Tuan Mansor Haji Din dan Datuk Prof. Dr Abdul Kadir Haji Din yang  telah mengizinkan penggunaan lokasi dan kemudahan secara percuma. Menurut mereka, lokasi ini juga pernah menjadi antara lokasi pilihan bagi penggambaran drama dan dokumentari yang disiarkan di kaca TV.

Penggambaran ini telah dimulakan pada jam 9.30 pagi dengan Encik Iznan Kassim bertindak sebagai pengarah dengan dibantu oleh Encik Husseini Hatim Ali dari  Syarikat Compu Cetak  serta Encik Abdul Hadi Taib dari Unit Arkib Media Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB). Manakala, kesemua kakitangan Muzium  termasuk Pengarah Muzium iaitu Dr. Kasri Saidon pula telah diberi tugasan untuk menjadi pelakon dalam penggambaran tersebut.

Sesi penggambaran ini telah berakhir dengan jayanya  sekitar jam 3.00 petang. Kesemua  staf muzium kelihatan amat berpuas hati dan seronok ketika penggambaran tersebut dan pastinya segala kenangan  akan sentiasa terpahat di dalam memori masing-masing sepanjang berkhidmat di UUM.