TERENGGANU MENJADI PILIHAN LAWATAN PENANDAARASAN PSB : MENJALIN HUBUNGAN KOLABORASI ANTARA INSTITUSI

Terengganu, 27 Februari 2025 – Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan Lawatan Penandaarasan ke Perpustakaan Sultanah Nur Zahirah, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Perpustakaan Al-Wathiqu Billah, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) serta Muzium Negeri Terengganu.

Lawatan ini berlangsung dari 25 hingga 27 Februari yang lalu dan disertai oleh 30 orang peserta yang diketuai oleh Timbalan Ketua Pustakawan, Puan Norma Said.

Menurut Puan Norma Said, lawatan anjuran Bahagian Sumber Ilmu, PSB ini bertujuan untuk memberi peluang kepada staf PSB mempelajari kaedah pengendalian pameran buku, perolehan bahan silibus, penggunaan buku elektronik serta memahami lebih lanjut mengenai pangkalan data maklumat perpustakaan.

“Selain itu, lawatan ini menjadi dorongan bagi staf untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam mengurus dan menyampaikan perkhidmatan perpustakaan kepada pengguna. Ini penting bagi memastikan PSB sentiasa relevan dan kompetitif dalam menyediakan perkhidmatan perpustakaan berkualiti tinggi kepada pengguna,” ujar beliau.

Ketua Bahagian Sumber Ilmu, Puan Rahimah Ishak, turut menyatakan bahawa lawatan ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada pengetahuan baharu, tetapi juga membuka peluang kerjasama strategik antara PSB, UMT dan UniSZA.

“Kerjasama ini dapat membawa manfaat jangka panjang seperti kolaborasi dalam penyelidikan dan pembangunan koleksi perpustakaan,” katanya.

Delegasi lawatan turut berpeluang melawat Muzium Negeri Terengganu yang terletak di Bukit Losong. Muzium ini merupakan muzium terbesar di Asia Tenggara dan antara yang tercantik di Malaysia, menempatkan pelbagai artifak serta pameran yang menggambarkan sejarah, seni, dan budaya negeri Terengganu.

Pustakawan UUM, Nur Darina Khairil Anwar, berkongsi pengalamannya sepanjang lawatan ke muzium tersebut.

“Kunjungan ke Muzium Negeri Terengganu adalah satu pengalaman yang tidak akan dilupakan. Ia bukan sahaja memberikan pengetahuan mendalam tentang sejarah dan budaya negeri ini, tetapi juga memperkaya pemahaman saya tentang warisan yang menjadikan Terengganu begitu istimewa. Setiap galeri dan pameran adalah sebuah perjalanan melalui masa, membawa saya lebih dekat dengan jiwa dan identiti masyarakat Terengganu,” katanya.

Lawatan ini diharap dapat memperkaya ilmu dalam kalangan peserta lawatan dan dapat mengamalkan amalan terbaik yang dipelajari di perpustakaan di UniSZA dan UMT di samping dapat memperkukuh kolaborasi perpustakaan melalui perkongsian antara institusi.

 

Disediakan oleh: Nasiha Abdul Rashid