PSB Online – Terusan Wan Muhammad Saman merupakan satu khazanah tinggalan yang sangat tinggi nilai sejarahnya dan sangat signifikan terhadap pembangunan ekonomi negeri Kedah. Bagi generasi muda hari ini pula, sejarah pembinaan, peranan dan sumbangan projek pengairan ini terhadap masyarakat sekitar makin kurang diambil peduli dan langsung dilupakan seiring dengan peredaran masa dan zaman.
Bagi memastikan Terusan Wan Muhammad Saman terus disebut dan diingati, Muzium Pengurusan Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Unit Latihan dan Kualiti Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah berjaya menganjur satu ceramah bertajuk “ Sembang Sembang dari Muzium UUM – Cerita Terusan” yang telah diadakan pada 19 Ogos 2021. Ceramah ini telah disampaikan oleh Dr. Mohd Kasri Bin Saidon, Pengarah Muzium Pengurusan UUM dan disiarkan secara atas talian Webex. Sesi ceramah ini telah bermula pada pukul 11.00 pagi dan dihadiri oleh seramai 155 orang peserta yang sebahagian besarnya terdiri daripada kakitangan akademik, pelajar dan kakitangan pentadbiran UUM. Dengan bantuan Unit Perpustakaan Pintar, Bahagian Sistem Maklumat, PSB, ceramah ini juga turut disiarkan secara langsung melalui medium Youtube PSB di saluran ‘psb uum’.
Menurut Dr. Kasri, Terusan Wan Muhammad Saman mula dibina pada tanggal 13 Ogos 1885 atas inisiatif Perdana Menteri Kedah yang pertama iaitu Wan Muhammad Saman bin Wan Ismail yang mentadbir Negeri Kedah pada tahun 1870 sehingga 1898. Tujuan terusan dibina adalah untuk membantu pesawah di Kedah pada ketika itu dari segi pengairan sawah bagi meningkatkan hasil pengeluaran padi. Wan Muhammad Saman mendapat ilham untuk membina terusan sepanjang 35 kilometer itu ketika beliau melawat negara Siam. Beliau begitu tertarik dengan pelbagai terusan yang menjadi jalan pertanian, perhubungan serta pengangkutan di Bangkok ketika itu. Hal ini mencetuskan ilham dan idea kepadanya untuk membina sebatang terusan bagi mengemaskan lagi sistem tali air di Kedah.
Pembinaan Terusan Wan Muhammad Saman yang menghubungkan Sungai Kedah sehingga ke kaki Gunung Jerai telah memgambil masa selama 10 tahun dan melalui 3 fasa utama untuk siap sepenuhnya pada tahun 1895. Untuk menyiapkannya, Wan Muhammad Saman telah menggunakan sistem kerah dengan mengerah tenaga rakyat berderau mengorek terusan menggunakan alat-alat tradisional seperti cangkul, parang, raga dan sebagainya. Terusan ini juga dikorek siang dan malam tanpa henti dan bagi memastikan terusan yang dikorek pada waktu malam itu lurus, kaedah nyalaan obor api telah digunakan.
Kejayaan pembinaan terusan ini telah menggalakkan petani membuka tanah dan penempatan baharu di sepanjang terusan dan ini menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri Kedah. Terusan yang lurus ini juga turut dijadikan asas kepada pembinaan jalan raya utama yang menghubungkan Alor Setar dengan Sungai Petani serta ke tempat-tempat lain di Selatan Kedah.
Namun begitu, nasib yang diterima oleh terusan yang bertaraf mega projek ini tidak sewangi dan seharum dulu. Nasib terusan yang melonjakkan nama negeri Kedah sebagai periuk nasi Malaysia amat malang dan menyedihkan. Golongan muda memandangnya hanya sebagai parit kotor busuk yang dipenuhi air hitam pekat dan bagi penduduk di sekitarnya pula, Terusan Wan Muhammad Saman dijadikan tempat pembuangan sampah, kertas dan plastik tanpa rasa bersalah akan nilai sejarahnya. Ini mungkin kerana mereka tidak cakna dan endah bagaimana kisah terusan ini bermula.
Besar harapan Dr. Kasri agar dengan perkongsian di dalam program “ Sembang Sembang dari Muzium UUM – Cerita Terusan” akan dapat mengembalikan kesedaran untuk menjaga khazanah negara dengan lebih baik di samping dapat memupuk nilai jati diri dan kenegaraan yang lebih di kalangan generasi muda masa kini.
Disediakan oleh dan gambar oleh : Azniza Binti Ahmad