Benar kata bidalan melayu ‘kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah kekal selamanya’ dan betapa ‘berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul’. Kehadiran anak syurga Muhammad A’fif di dalam keluarga bahagia Puan Noorfauziati Mohd Yatim (Zeti), seorang Pustakawan Kanan di Bahagian Arkib, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) disambut dengan penuh kesyukuran oleh beliau dan suaminya Mohd Husni Mubarokh.
Pada awalnya A’fif merupakan anak yang normal namun pada usia 5 bulan, berlaku satu kejadian yang tidak diduga yang menyebabkan A’fif tercedera sekaligus menganggu perkembangan normalnya. Kecederaan itu telah menyebabkan dia menderita Palsi Serebrum hingga kini. Dia tidak boleh berjalan atau mengurus dirinya sendiri dan terpaksa bergantung ihsan dengan orang lain. Sebagai seorang ibu, tiada siapa yang menginginkan anaknya hidup bersalut derita sepanjang hayat. Bermula dari situ, Zeti berjuang membesarkan anaknya dengan mencuba perbagai cara perubatan moden, tradisional, terapi dan rawatan alternatif. Jelas wanita tabah ini “saya tidak mahu berhenti dan berputus asa untuk terus mencuba segala rawatan dan terapi. Jika diberi kesempatan, saya mahu berikhtiar sepuas-puasnya mencari keajaiban kesembuhan jika ada di dunia ini untuk masa depan anak saya”. Mempunyai anak berstatus orang kurang upaya (OKU) yang terlantar, Zeti secara tidak langsung turut melibatkan diri dalam dunia kesukarelawanan seawal anaknya mendaftar sebagai pelajar di PDK Kampung Tradisi, Changlun pada tahun 2012. PDK atau Pemulihan Dalam Komuniti adalah sebuah organisasi yang banyak memberi terapi dan sokongan kepada kanak-kanak kurang upaya untuk menjalani kehidupan yang lebih baik yakni kehidupan kendiri.
Di PDK ini, selaku waris dan turut menjadi Ahli Jawatankuasa, Zeti banyak membantu petugas di situ menjayakan pelbagai aktiviti yang dianjurkan seperti mengajar mereka mengunakan Microsoft Publisher, MS Powerpoint, menjadi pengacara majlis, memasak untuk sebarang jamuan dan malahan menjadi Pengerusi Program Sambutan Hari OKU Sedunia peringkat daerah Kubang Pasu yang telah berlangsung pada bulan November 2019 yang lalu. Sebagai ibu yang menguruskan anak OKU, beliau percaya sokongan perlu wujud dalam apa jua bentuk kerana cabaran terbesar memelihara anak Palsi Serebrum adalah untuk memenuhi keperluan asas dan menyediakan kemudahan mengikut kesesuaian mereka bagi membantu kanak-kanak tersebut mencapai potensi yang optimum.
Ketika ditanya tentang impian dan perancangan masa hadapan A’fif, Zeti hanya mahu fokus terhadap keupayaan anaknya agar mampu menguruskan diri sendiri “paling tidak pun, saya harap dia boleh duduk, berdiri, berjalan dan boleh mengurus diri sendiri apabila dewasa kelak. Saya bimbang kalau saya tiada, siapalah yang akan menjaga dan menguruskan dia”. Tambah beliau lagi, “Hikmah utama, anak istimewa inilah yang memberi saya pahala. Dia ladang pahala saya untuk sentiasa mengingati Allah SWT dan tiket saya ke syurga. Setiap dari kita ada ujian masing masing. Saya redha dan terima dengan ujian yang Allah tetapkan ini. Saya yakin Allah tidak akan menguji diluar batas kemampuan hambaNya.”
Zeti dan A’fif adalah insan terpilih. Hanya Allah yang tahu betapa istimewanya mereka di sisi Allah. Di sisi manusia anak OKU adalah serba kekurangan, penuh kelemahan tetapi di sisi Allah, betapa mereka adalah insan terpilih yang sangat istimewa. Sesungguhnya anak yang istimewa untuk ibu yang istimewa juga.
Disediakan oleh : Azniza Binti Ahmad
Gambar oleh : Azniza Binti Ahmad dan Noorfauziati Bt. Mohd Yatim