
PSB Online – Jika antara senarai tugas anda memerlukan anda untuk menyiapkan laporan statistik Unit atau Bahagian Jabatan anda, kemahiran menggunakan Microsoft (MS) Excel semestinya akan sangat membantu dalam menyelesaikan tugasan tersebut. Secara umumnya, program MS Excel membantu dalam memudahkan pengguna untuk menyusun, menghitung, mengolah dan menganalisa data-data keperluan dalam penyediaan laporan statistik pejabat. Untuk itu, Unit Latihan dan Kualiti Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah menganjurkan satu Kursus Microsoft (MS) Excel peringkat asas pada 03 November 2020 yang lalu bertempat di Makmal 2, Bangunan Tambahan PSB.
Kursus yang mengambil masa sehari bermula dari jam 8.30 pagi sehingga 4.30 petang ini telah dihadiri oleh seramai 9 orang peserta yang terdiri daripada Pembantu Pustakawan dan Pembantu Tadbir (P/O) dari pelbagai Bahagian di PSB. Antara staf yang terlibat adalah dari Bahagian Sumber Ilmu, Bahagian Perkhidmatan Pengguna, Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Maklumat Ilmiah, Bahagian Perkhidmatan Pengurusan dan Bahagian Muzium Pengurusan. Objektif kursus ini adalah supaya para peserta dapat menyediskan laporan statistik bulanan menggunakan program Excel sepenuhnya terutama sekali sekiranya laporan berkenaan mengandungi hitungan nombor dan kumulat.
Kursus ini telah dikendalikan sepenuhnya oleh Puan Zuraidah Darus, Pustakawan Kanan merangkap Ketua Unit Sistem Komputer Perpustakaan, Bahagian Sistem Maklumat, PSB. Menurut Puan Zuraidah “kursus ini adalah lebih kepada refreshment tentang asas MS Excel kepada semua peserta memandangkan hampir kesemua peserta pernah menghadiri kursus asas sebegini sebelum ini. Tambah beliau, “saya juga akan berkongsi beberapa teknik dan tips MS Ecxel versi terbaharu, iaitu Microsoft Excel 17.” Seterusnya dengan kaedah hands-on, semua peserta memulai kursus dengan pengenalan kepada fungsi-fungsi asas MS Excel dan dibimbing untuk aktiviti seperti rename sheet, fill series, formula bar, fungsi upper, merge and center, data validation, find and replace dan pivot table.
Di penghujung kursus, Puan Zuraidah turut memberi pendedahan secara ringkas tentang cara membuat google form sendiri sekiranya peserta diberi tugasan untuk mendapatkan dan mengumpul statistik sesuatu acara seperti kehadiran dan lain-lain kelak. Menurutnya, kaedah secara elektronik ini dapat menjimatkan penggunaan kertas dan seterusnya membantu menyelamatkan alam sekitar.
Kursus ini tamat pada pukul 4.30 petang dan berdasarkan penilaian yang dibuat sesama peserta, kursus ini amat berguna dan sesuai dijalankan bagi tujuan ‘refreshment course’ khususnya kepada staf sokongan PSB.
Disediakan oleh : Azniza Ahmad
Gambar : Azniza Ahmad dan Izhar Hj. Hashim