TAN SRI CHOR CHEE HEUNG SUMBANG SEBANYAK 230 NASKAH BUKU PELBAGAI JUDUL

PSB Online: Bertempat di kediamannya di Alor Setar, Kedah, Tan Sri Chor Chee Heung telah berbesar hati menyerahkan sumbangan koleksi peribadinya kepada Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) pada 20 Julai 2020 yang lalu.

Menerusi Pn. Norihan Anah iaitu Ketua Unit Pembangunan Sumber, PSB, Tan Sri Chor Chee Heung telah menyerahkan sebanyak 230 naskhah buku untuk dijadikan sebagai koleksi Perpustakaan. Menurut beliau, buku-buku tersebut adalah koleksi peribadinya dan beliau sememangnya amat berbesar hati untuk menyumbangkan koleksi tersebut agar ianya dapat dimanfaatkan oleh pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) dan membantu di dalam pembelajaran mereka.

Mengenali dengan lebih dekat latar belakang Tan Sri Chor Chee Heung, beliau merupakan seorang tokoh politik yang berwibawa di mana beliau adalah Mantan Ahli Parlimen Alor Setar. Disenangi oleh masyarakat sekeliling sepanjang perkhidmatannya, beliau juga merupakan seorang yang rendah diri dan berjiwa rakyat. Merupakan anak jati Alor Setar, Kedah, Tan Sri Chor telah dilahirkan pada 15 Mac 1955. Sebelum terjun ke dunia politik, beliau berkhidmat sebagai seorang peguam dan beliau juga merupakan seorang suami dan bapa yang penyayang kepada 3 orang anak. Pada Jun 2010, beliau telah menjawat jawatan sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Beliau sebelum ini telah menjadi Timbalan Menteri, dan telah berkhidmat di dalam parlimen sebagai Setiausaha parlimen dan memegang jawatan Timbalan Menteri sejak tahun 1995.

Merupakan seorang yang cintakan ilmu, sumbangan ini bukanlah pertama kali diserahkan kepada PSB. Pada tahun 2013, Tan Sri Chor telah menyerahkan sebanyak 391 naskhah buku kepada perpustakaan dan pada tahun ini, beliau masih berbesar hati untuk menyumbangkan koleksi peribadi beliau. Sebagai penerima sumbangan, pihak PSB amat berbangga dan berterima kasih kepada beliau kerana telah memilih PSB untuk berkongsi sumbangan tersebut seterusnya menambahkan lagi koleksi di PSB dan turut membantu pengguna PSB untuk merujuk lebih banyak sumber pembelajaran dan pengajaran.

Jutaan terima kasih diucapkan kepada Tan Sri Chor Chee Heung di atas kemurahan hati beliau dan semoga jalinan kerjasama ini dapat diteruskan lagi di masa akan datang ke arah kelestarian ilmu pengetahuan.

 

Disediakan oleh: Noraini Alias

Gambar oleh: Unit Pembangunan Sumber Ilmu