LAWATAN PENANDAARASAN DAN KOLABORASI PSB BERSAMA PERPUSTAKAAN HAMZAH SENDUT, USM

PSB Online – Baru-baru ini Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah mengadakan satu lawatan penandaarsan dan kolaborasi ke Perpustakaan Hamzah Sendut, Universiti Sains Malaysia (USM). Lawatan ini telah diadakan pada pada 29 September 2022.

Seramai 22 orang staf yang terdiri daripada, Ketua Pustakawan Encik Salleh Hudin Mustaffa, Ketua-Ketua Bahagian dan Ketua-Ketua Unit PSB telah terlibat dalam aktiviti lawatan ini. Perpustakaan Hamzah Sendut merupakan sebuah Perpustakaan akademik di USM dan ia merupakan satu-satunya university APEX (Accelerated Programme for Excellence) di Malaysia. Selain itu, ia juga merupakan universiti intensif penyelidikan premium di Malaysia. Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah memilih Perpustakaan Hamzah Sendut sebagai lokasi lawatan penandaarasan serta mengadakan kolaborasi adalah kerana fungsi dan peranan Perpustakaan berkenaan hampir sama dengan PSB.

Objektif lawatan diadakan adalah untuk mengadakan lawatan penandaarasan dengan Perpustakaan akademik yang mempunyai fungsi yang sama, menjalin kolaborasi terutamanya yang berkaitan dengan bidang kepustakawanan. Selain itu juga, melalui lawatan ini PSB boleh bertukar-tukar pandangan bersama Pustakawan dan staf di Perpustakaan Hamzah Sendut.

Ketibaan PSB telah disambut baik oleh Puan Asma Wati Binti Ibrahim, Pustakawan dari Bahagian Pengurusan Korporat & Penjanaan Kewangan serta dibantu oleh Penolong Pustakawan, Encik Mohammad Shuhaimi Bin Idris. Delegasi PSB telah dibawa melawat ke Minden II800 USM yang begitu menawan dan menarik untuk dikunjungi. Ia merupakan sebuah tempat aktiviti pelajar dan staf untuk mendapatkan mood rehat dan belajar yang santai dan selesa dengan dipenuhi kelengkapan yang moden dan eksklusif tersedia untuk digunakan.

Setelah itu, delegasi dibawa terus ke Perpustakaan Hamzah Sendut untuk sesi taklimat ringkas dan jamuan tengahari. Pn. Arinawati Ayob, selaku Timbalan Ketua Pustakawan Kanan   Perpustakaan Hamzah Sendut amat mengalu-alukan kedatangan Perpustakaan UUM  dan  mengharapkan objektif hari ini dapat dicapai dengan jayanya. Usai taklimat, delegasi dibawa untuk  menjamu selera, solat dan rehat. Pada jam 2.30 petang lawatan diteruskan dengan melawat bahagian-bahagian dan berjumpa langsung dengan staf-staf terbabit dan bertanya lanjut mengenai proses kerja di setiap bahagian. Untuk tujuan ini, delegasi PSB dipecahkan kepada 2 kumpulan. Sepanjang melawat, banyak input dan perkara-perkara baharu yang diperolehi yang boleh diaplikasi di PSB nanti.

Sebelum berangkat pulang, satu sesi penutup dan perbincangan kolaborasi telah diadakan dengan diketuai oleh En. Salleh Hudin Mustaffa bersama Pemangku Ketua Pustakawan Perpustakaan Hamzah Sendut, USM, Encik Mohd Nasir Bin Md Rashid. Mewakili kedua-dua institusi yang mempunyai fungsi dan peranan yang hampir sama, satu jaringan kolaborasi diharap dapat dibentuk agar manfaat besar dapat diperolehi oleh kedua-duanya. Sebagai tanda kenang-kenangan, sesi pertukaran cenderahati diadakan sebelum berangkat pulang. Semoga objektif lawatan ini tercapai dengan jayanya di samping hubungan silaturrahim terjalin dengan lebih erat.

 

 

Disediakan oleh: Noraini Alias

Gambar oleh: Noraini Alias