PSB MANFAATKAN IDEA DAN KEPAKARAN MELALUI PROJEK SDG MEMANTAPKAN PERKHIDMATAN PUSAT SUMBER SK SERI PERDANA, ALOR SETAR

PSB Online  – Satu “Majlis Penyerahan Pusat Sumber Sekolah Berkonsepkan Minimalis dan Berelektronik Senayan Library Management System (SLiMs)” telah  diadakan pada 1 Februari 2023 yang lalu.

Majlis ini adalah acara kemuncak dan simbolik penyerahan semula Pusat Sumber kepada pihak sekolah hasil jalinan kerjasama untuk Projek Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB), Universiti Utara Malaysia (UUM) bersama  Pusat Sumber Sekolah Kebangsaan Seri Perdana, Alor Setar, Kedah. Untuk makluman, projek SDG PSB ini telah bermula pada 7  September 2022 sehingga Februari 2023 dengan  keseluruhan 5 kali lawatan secara berkala yang bermula daripada proses mengenalpasti, menilai keperluan dan tindakan bagi menjamin kelancaran usaha menaiktaraf pusat sumber seperti aktiviti-aktiviti keceriaan sekolah berkonsepkan minimalis dan pengendalian serta pengurusan koleksi Pusat Sumber daripada kaedah konvensional kepada sistem berelektronik sejajar dengan transformasi sekolah abad ke-21.

Majlis penyerahan ini telah diadakan di Bilik Mesyuarat sekolah pada pukul 10.00 pagi dengan dihadiri oleh Ketua Pustakawan PSB, Tuan Haji Salleh Hudin Bin Mustaffa, Guru Besar Sekolah SK Seri Perdana , Cikgu Kamarulzaman Bin Che Nik, Guru Penasihat dan Penyelaras Pusat Sumber Sekolah, Cikgu  Hajah Nor Habibah Sulaiman, Ahli Jawatankuasa SDG PSB serta guru dan Pengawas Pusat Sumber Sekolah.

Sebelum itu, projek ini telah diadakan secara berfasa selama hampir 5 bulan. Melalui beberapa siri lawatan, PSB telah berkongsi kemahiran, pengetahuan dan tenaga kepada SK Seri Perdana ke arah mewujudkan Pusat Sumber yang berkonsepkan minimalis dan berelektronik. Di peringkat awalnya, satu kertas kerja pembentangan idea dan pelan tindakan telah dipersetujui bersama dengan berdasarkan Garis Panduan Konsep Pusat Sumber Sekolah yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Dua fokus utama projek adalah menaiktaraf Pusat Sumber dengan pemasangan sistem Perpustakaan secara hardware dan software dan juga pengubahsuaian dekorasi dalaman secara major. Seramai 15 ahli jawatankuasa dan 3 orang pelajar UUM dari Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) telah terlibat bagi menjayakan aktiviti gerak kerja tranformasi dan naiktaraf Pusat Sumber ini agar menjurus ke arah keceriaan Pusat Sumber berkonsepkan minimalis dan berelektronik. Penerangan konsep minimalis dan pengurusan Pusat Sumber secara lebih sistematik juga turut diberi kepada pihak SK Seri Perdana agar persetujuan bersama dapat dicapai. Selain itu, projek ini juga turut berkolaborasi bersama Syarikat KFMY Electrical Sdn. Bhd yang menaja lampu downlight yang diletakkan pada Sudut “Baca Buku, Buka Dunia” Pusat Sumber.

Projek ini turut menerapkan elemen pemindahan ilmu (knowledge transfer) melalui inisiatif mengadakan dua sesi bengkel latihan asas secara bersemuka dan hands on kepada 11 orang Pengawas Pusat Sumber sekolah iaitu Latihan Pengendalian Sistem Pusat Sumber yang telah dibangunkan oleh PSB menggunakan sumber terbuka “Senayan Library Management System (SLiMS)” dan Latihan Asas Penggunaan Microsoft Office pada 20 Disember 2022 di Makmal Komputer Sekolah yang lalu. Sesi latihan SLiMs telah dikendalikan oleh Puan Zuraidah Darus, Pustakawan Kanan dari Unit Sistem Perpustakaan dan Cik Nur Darina Khairil Anwar, Pustakawan dari Unit Metadata, Pengindeksan dan Abstrak PSB. Manakala latihan Asas Microsoft Office pula dijayakan oleh 3 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) yang melakukan jalinan kerjasama dengan PSB untuk memenuhi keperluan kerja kursus mereka. Selain itu juga, pihak PSB turut mengemaskini laman sesawang Pusat Sumber dengan memasukkan maklumat-maklumat relevan dan terkini serta mencipta interface yang lebih kemas dan teratur menggunakan kepakaran dalaman PSB.

Melalui projek ini, ianya telah memberi manfaat kepada semua 776 pelajar dan 63 guru di SK Seri Perdana dengan memudahkan pengurusan koleksi Pusat Sumber ke arah yang lebih sistematik dan efisien serta penjimatan kertas.  Antara elemen SDG yang terlibat dalam projek ini adalah SDG 4 (Quality Education), SDG 12 (Responsible Consumption and Production) dan SDG 17 (Partnership For Goals)

Disediakan oleh : Azniza Binti  Ahmad

Gambar : Urusetia Projek