LAWATAN PENANDA ARAS TINGKATKAN PENGETAHUAN STAF MUZIUM

PSB Online [Berita Muzium] 15 Dis 2020 – Satu lawatan penanda aras telah diadakan melibatkan staf Muzium Pengurusan UUM ke tiga buah Muzium iaitu Muzium Negeri Kedah dan Muzium Padi di Alor Setar dan juga Muzium Kota Kayang di negeri Perlis.

Objektif lawatan ini adalah untuk memberi pendedahan kepada semua staf muzium berkaitan dengan  pengurusan dan pentadbiran muzium, teknik persembahan bahan dan artifak, teknik peragaan, garis panduan operasi muzium sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan sebagainya.

Seawal jam 7.30 pagi staf muzium telah berkumpul dan bersama-sama menaiki bas untuk ke destinasi yang pertama iaitu Muzium Negeri Kedah. Ketibaan kami telah disambut oleh En.  Rashidi bin Ishak   selaku  Penolong Kurator, Muzium Negeri Kedah. Setelah itu, kami  dibawa melawat ke sekitar muzium dan kemudian dibawa terus ke bilik mesyuarat. Hasil dari pertemuan kami bersama beliau adalah perkongsian pelbagai ilmu pengetahuan mengenai dunia pemuziuman masa kini. Turut serta bersama adalah penolong Kurator Muzium Negeri Kedah iaitu Encik Badri Sham bin Abdullah.

Tidak lengkap lawatan kami sekiranya tidak ke Muzium Padi. Oleh itu, kunjungan kami yang seterusnya adalah ke Muzium Padi yang terletak di Gunung Keriang, Alor Setar. Muzium Padi merupakan antara Muzium yang berjaya menerima lawatan dan jumlah pelawat yang tinggi dek kerana mempunyai keunikkannya yang tersendiri. Sesampainya kami di sana, kami telah dibawa melawat ke sekitar Muzium padi oleh Penolong Kurator Muzium tersebut iaitu Puan Intan Hamidah binti Yazek bersama-sama Pembantu Muzium Kanan, Encik Adzmi bin Bakar.

Muzium Kota Kayang di Perlis merupakan destinasi yang terakhir dari tentatif lawatan kali ini. Di sini, kami telah diberi penerangan oleh 2 orang staf Muzium Kota Kayang iaitu Encik   Yusup bin Abdullah  dan Puan Nurul Azlida binti Ghazali. Teknik persembahan dan artifak di Muzium Kota Kayang kelihatan amat menarik dan berinformatif. Ianya adalah merupakan kekuatan di Muzium ini. Lawatan kami telah berakhir sekitar jam 5.00 petang.

Secara keseluruhannya, lawatan penanda aras ini mencapai objektif yang diharapkan, semoga segala perkongsian idea, pengetahuan tentang dunia pemuziuman ini menjadi garis panduan bagi  memartabatkan lagi Muzium Pengurusan UUM di mata dunia.

 

Disediakan dan gambar oleh: Muzium Pengurusan UUM