SEMBANG-SEMBANG DARI MUZIUM : SEPINTAS LALU HUBUNGKAIT YANG RAPAT DENGAN PENDIDIKAN, EKONOMI PADI DAN PETEMPATAN

PSB Online – Kesinambungan “Cerita Terusan” yang telah disampaikan pada 19 Ogos 2021 yang lalu, adalah satu segmen Sembang-Sembang dari Muzium  Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan tajuk Sepintas lalu hubungkait yang rapat dengan pendidikan, ekonomi padi dan petempatan yang telah diadakan pada 19 Januari 2022.

Segmen oleh Dr. Kasri Saidon yang juga merupakan Pengarah Muzium ini membincangkan tajuk mengenai hubungkait pendidikan, ekonomi padi dan petempatan yang tertumpu kepada kawasan Pida, Kubang Pasu, Kedah. Gemar menggunakan konsep bercerita dalam setiap sesi ceramahnya, segmen ini berjaya meraih 90 tanda suka, 25 komen dan sebanyak 585 jumlah tontonan semasa bersiaran langsung menerusi Facebook rasmi Muzium Pengurusan UUM. Menurut Dr, Kasri, beliau menggunakan konsep bercerita memandangkan penonton adalah terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat seperti pelajar, pensyarah, guru dan lain-lain lagi.

Sebagai seorang yang cintakan sejarah, beliau amat suka untuk berkongsi apa yang beliau faham agar dapat diwarisi oleh generasi akan datang dengan mempunyai pemahaman yang kukuh mengenai sejarah tanah air. Dr. Kasri memulakan segmen dengan perkongsian mengenai sumbangan Perdana Menteri Kedah yang pertama iaitu Wan Muhammad Saman yang juga dikenali sebagai Tokoh Pembangunan Negeri Kedah melalui sumbangan terbesarnya dalam pembinaan terusan.

Menurutnya lagi, kerja bersawah merupakan satu bentuk aktiviti ekonomi yang menjadi teras pendapatan rakyat di Kedah. Sejarah bersawah ini mempunyai episod yang panjang dan berkait rapat dengan sejarah negeri tersebut. Selepas tahun 1900 dilihat berlaku pengukuhan kepada aktiviti ekonomi padi ini dan penglibatan penjajah British telah mencorakkan ekonomi ini kepada satu bentuk kerja yang lebih berfokus. Sawah diperluaskan dengan pembinaan terusan dan seterusnya meningkatkan petempatan rakyat di sekitar serta kesedaran pendidikan yang semakin tinggi. Kawasan Pida, Kubang Pasu adalah merupakan antara kawasan persawahan terbesar di Kedah dan di kawasan inilah telah menjadi wadah kepada semua elemen penghidupan seperti kuasa perintah, rakyat, pekerjaan dan kehendak sosial kehidupan.

Segmen ini bermula pada jam 10.30 pagi dan tamat sekitar jam 12.30 tengahari.

 

Disediakan dan gambar oleh: Noraini Alias