YAKIN DAN SELESA BERBAHASA INGGERIS DALAM “ENGLISH ENRICHMENT DAY”

PSB Online  –  Kunci penguasaan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris adalah bermula dengan membina keyakinan menggunakan bahasa itu sendiri samada dalam pertuturan atau penulisan. Kita harus percaya diri dan tidak perlu takut berkomunikasi dalam bahasa Inggeris ketika bertugas di kaunter atau ketika berhadapan dengan situasi yang penting dalam kehidupan kita yang memerlukan kita untuk berinteraksi di dalam bahasa global itu.

Justeru itu, pada 9 Mac 2023 , Unit Latihan dan Sistem Kualiti Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) sekali lagi menganjur “Bengkel English Enrichment Day” kepada 18 orang staf Kumpulan Pelaksana yang terpilih. Tujuan utama bengkel ini dianjur adalah untuk meningkatkan lagi tahap keyakinan, penguasaan dan kemahiran berbahasa Inggeris para peserta terutama ketika mereka  berurusan dengan pelajar antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM).

Bengkel ini diselia oleh Dr. Fahainis Bt. Mohd Yusof dari Pusat Pengajian Pendidikan UUM bersama 27 orang pelajarnya dari Program Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) dalam bidang English Language Teaching (ELT). English Enrichment Day ini mengutamakan pendekatan secara interaktif yang tinggi di mana fasilitator dan semua peserta perlu berkomunikasi di dalam bahasa Inggeris sepenuhnya sepanjang bengkel berlangsung. Bengkel yang dijalankan secara santai dan seronok ini terbahagi kepada 4 topik praktikal yang utama iaitu Fun Ice Breaking Session, Be Confident Jer!, English Amazing Race dan  Workplace Role Play.

Setiap aktiviti dalam topik berkenaan dirancang untuk merangsang para peserta membina keyakinan diri ke tahap di mana mereka berasa lebih selesa untuk berkomunikasi dalam bahasa Inggeris tanpa malu dan segan dan juga tanpa mempedulikan kesalahan tatabahasa dan sebutan. Selain mengelak peserta menjadi cepat bosan dan hilang fokus, sedikit kelainan diselitkan di dalam bengkel ini dengan aktiviti seperti English Amazing Race diadakan di luar Bilik Makmal 2, iaitu di Ruang Bacaan Umum Perpustakaan.

Program ini berakhir pada pukul 1.00 tengahari dengan Unit Latihan dan Sistem Kualiti mengucapkan terima kasih kepada semua peserta yang sudi memberi kerjasama hadir dan melibatkan diri secara aktif untuk menjayakan bengkel ini. Semoga semua peserta terus berlatih berkomunikasi  dalam Bahasa Inggeris dengan jelas, tepat dan yakin di tempat kerja.

 

 

Disediakan oleh : Azniza Binti  Ahmad

Gambar :  Azniza Binti Ahmad