PSB ANJUR BUAL BICARA MOTIVASI BERSAMA PAKAR RUJUK BAHAGIAN KAUNSELING DAN PSIKOLOGI

11 April 2019 yang lalu, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah berjaya menganjurkan satu bual bicara motivasi yang bertajuk “Siapakah anda sebenarnya?”. Bual bicara ini telah diadakan di Auditorium 2, Bangunan Tambahan, PSB.

Penceramah yang telah dijemput khas adalah seorang yang pakar dalam bidang kaunseling dan psikologi. Beliau adalah Prof. Madya Dr. Huzili Husin merupakan Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi (Ikon), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan merupakan kolumnis akhbar Sinar. Selain itu, beliau juga merupakan Pakar Rujuk Bahagian Kaunseling dan Psikologi, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri (JKMN), Perlis.

Memulakan ceramahnya, PM. Dr. Huzili mengatakan bahawa kehidupan kita ini mempunyai banyak ujian yang perlu dilalui. Oleh yang demikian, dalam aspek pengurusan diri, kita perlu mengurus diri sendiri sehabis baik, supaya tidak gagal di kemudian hari. Tambah beliau lagi, kegagalan itu adalah berpunca daripada halangan peribadi serta kehidupan yang terlalu mengambil berat mengenai pandangan komuniti yang pelbagai. Oleh itu, kita seharusnya berpijak di bumi yang nyata serta menyedari realiti  kehidupan diri kita sendiri.

Dr. Huzili turut berkata “Fikiran kita akan cepat merakam sekiranya sesuatu yang tidak baik dan makin difikir maka makin menjadi-jadi sehingga boleh menyebabkan trauma, oleh itu kita perlu menjadi orang yang selalu memaafkan orang”. Tambah beliau, “Hidup perlulah sentiasa memudahkan orang lain dan memperbanyakkan senyuman kerana dengan senyuman banyak perkara yang akan menjadi lebih lancar”.

Sebelum mengakhiri ceramahnya, beliau turut berpesan kepada semua hadiri di dalam auditorium supaya “Usah bersedih, banyakkan berdoa dari melayan perasaan atau menangis dan mulakan dengan memperbanyakkan senyuman sebagai sedekah, memberi salam untuk mengeratkan ikatan silaturrahim sesama manusia”.

Kesimpulannya PM. Dr. Huzili, menyarankan supaya setiap pekerja wajib berusaha bersungguh-sungguh untuk menaikkan diri kepada peringkat kejayaan dan kemuliaan di dunia dan akhirat.

 

Disediakan oleh: Ku Azmi Ku Ibrahim

Gambar oleh: Mohamad Fuzi Ismail & Suparman Sukri